Raih Pendapatan Jutaan Ringgit Melalui ‘Live Stream’, Guru Tadika Ini Berhenti Kerja

Seolah-olah menerima durian runtuh, seorang guru tadika di China tidak menyangka video dia menyanyi dan mengajar kanak-kanak berjaya mencuri perhatian orang ramai di platform media sosial Douyin.

Wanita itu kemudiannya terus bertindak untuk berhenti kerja selepas salah satu sesi live stream yang dilakukannya berjaya menjana pendapatan bernilai gajinya untuk 10 tahun.

Huang disarankan untuk buat livestream oleh para peminat

Sumber: Siakap Keli

Memetik laporan China Times, seorang guru prasekolah yang dikenali sebagai Huang menjadi sebutan ramai selepas video lagu kanak-kanaknya meraih jumlah tontonan lebih daripada 100 juta.

Memandangkan gerak-geri wanita berasal dari Wuhan, China itu berjaya menarik jumlah sehingga 4.3 juta peminat, ramai orang menyarankan Huang memasuki dunia penstriman secara siaran langsung.

Saranan itu nampaknya membuahkan hasil apabila ramai peminatnya yang berkunjung dan juga memberikan hadiah kepadanya dalam sesi siaran langsung itu.

Secara keseluruhan, Huang berjaya menjana jumlah pendapatan kira-kira 500,000 yuan (RM321,313) dalam satu hari sahaja. Sebagai seorang guru tadika di Wuhan yang menerima bayaran gaji sebanyak 3,000 yuan (RM1,928) sebulan, keuntungan daripada media sosial ini dianggap lumayan untuk Huang.

Hasil keuntungan Huang daripada live stream sama dengan pendapatan sebagai guru tadika selama 10 tahun

Hal ini demikian kerana hasil keuntungan yang diperoleh daripada sesi live stream pada hari pertama itu sahaja bersamaan dengan hasil pendapatan Huang selama 10 tahun.

Perkara ini memberikan galakan dan jaminan kepada Huang untuk berhenti daripada pekerjaan asalnya sebagai seorang guru tadika. Huang difahamkan berjaya memperoleh kira-kira dua juta yuan (RM1,285,288) daripada tiga sesi live stream sahaja.

Terharu dengan sokongan orang ramai yang tidak berhenti memberikan hadiah ketika siaran langsung, Huang berterima kasih sambil menitiskan air mata, “Saya sangat gembira dan teruja. Saya membuat live stream untuk satu hari sahaja dan kini jumlah pendapatan saya melebihi gaji saya selama 10 tahun, Terima kasih kalian.”

Dalam pada itu, terdapat ura-ura yang berkata Huang telah menandatangani kontrak bersama sebuah syarikat pengurusan bakat. Ada pula yang meragui pilihan wanita itu untuk menceburi kerjaya baharunya kerana popularitinya mungkin akan tenggelam memandangkan trend internet yang tidak menentu. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca