Raih Hampir 3,000 Sokongan, Pelajar Buat Petisyen Mohon Tun M Benarkan Lelaki Berambut Panjang Ke Sekolah

Setiap sekolah mempunyai peraturan untuk memastikan pelajar kelihatan kemas. Bagi pelajar lelaki, pasti tahu dengan peraturan di mana mereka tidak dibenarkan membela rambut panjang. Setiap kali pemeriksaan kekemasan dijalankan, pasti pelajar lelaki akan takut jika rambut digunting oleh guru disiplin.

Tindakan seorang pelajar Tingkatan 1, Darrell James mengejutkan warganet apabila membuat petisyen secara dalam talian meminta supaya pelajar lelaki dibenarkan berambut panjang dan ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Darrell menyatakan peraturan rambut panjang tidak munasabah jika rambut melebihi paras telinga, menutupi dahi dan rambut melebihi paras hidung atau lebih 15 sentimeter dikira melanggar peraturan sekolah.

Malah, peraturan lelaki berambut pendek tidak lagi relevan dan tidak lagi boleh diguna pakai di abad ke-21 kerana alasan bimbang dengan jangkitan kutu sedangkan pelajar wanita dibenarkan berambut panjang. Masalah kutu boleh diselesaikan dengan pengunaan produk syampu anti kutu di pasaran, katanya.

Katanya lagi, pelajar lelaki tidak dibenarkan berambut panjang dan pelajar perempuan dibenarkan adalah diskriminasi jantina. Kementerian pendidikan sepatutnya memberi fokus atau memperbaiki persekitaran pembelajaran yang baik dan bukannya menguatkuasakan peraturan remeh.

Menerusi petisyen tersebut, dia mahu pelajar atau ibu bapa mereka dibenarkan untuk menentukan gaya rambut kerana mungkin ada keluarga yang tidak mampu menampung kos memotong rambut setiap bulan.

Setakat ini, petisyen tersebut sudah mendapat 2,830 sokongan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca