Rahsia Gelap Di Sebalik Istana Himeji

Istana Himeji di atas bukit ini sudah berdiri teguh di tengah kota Himeji sejak ratusan tahun lalu.

Bangunan ini mula dibina pada tahun 1333 sebelum siap sepenuhnya 13 tahun kemudian.

Apa yang mengagumkan, istana yang terdiri daripada papan dan mempunyai pagar sesat ini tetap bertahan sehingga kini walaupun kota itu pernah dibom sewaktu Perang Dunia Ke-2 dan dilanda gempa bumi serta dipulihara dengan baik oleh kerajaan Jepun.

Istana yang menjadi tempat kediaman para bangsawan dan samurai dahulu kala ini turut menyimpan sebuah cerita seram.

Seorang Gadis Bernama Okiku

Okiku bekerja sebagai pembantu rumah di salah satu menara istana yang menjadi kediaman seorang samurai bernama Tessan Aoyama.

Isteri Tessan memiliki 10 pinggan emas dan salah satu tugas Okiku adalah menjaga pinggan tersebut baik-baik.

Tessan, si suami yang tidak setia itu mula berkenan dengan Okiku dan senyap-senyap menawarkan gadis itu untuk menjadi perempuan simpanannya. Malah berjanji untuk meninggalkan isterinya.

Bagaimanapun Okiku tidak berminat dengan suami orang itu dan menolak dengan cara terhormat.

Samurai yang percaya dia boleh dapat apa saja itu tidak boleh menerima jawapan tersebut, lantas dia sembunyikan salah satu pinggan emas jagaan Okiku.

Menyedari pinggan tersebut hilang, Okiku mula mencarinya di serata tempat.

Pada waktu inilah, Tessan menghampiri orang gajinya dan sekali lagi memasang janji bulan bintang walaupun kakinya masih berpijak di bumi.

Gadis itu tetap berkata ‘tak nak’, mana mungkin dia mahu bersama dengan lelaki jenis macam itu.

Tuan rumah itu mengugut untuk menyalahkan Okiku, malah mahu menghukum dan menyeksa dia atas kesalahan kehilangan pinggan tersebut kalau masih tidak mahu melayannya.

Pada suatu malam, Okiku terjun ke dalam perigi dan melemaskan dirinya. Dia lebih rela mati.

Dihantui Suara Okiku

Untuk tutup kes kematian Okiku, Tessan yang masih menyembunyikan pinggan berkenaan menuduh orang gaji itu yang menghilangkannya.

Sejak tragedi malam itu, hantu Okiku yang berpakaian serba putih, berambut hitam pekat, tanpa tangan dan kaki dikatakan memanjat keluar dari perigi, merangkak mencari pinggan tersebut.

“1, 2, 3…” Hantu itu mula mengiranya dan sampai pinggan ke-9, ia mula menangis melolong hiba kerana tidak cukup 10.

Suara itu menghantui Tessan Aoyama setiap malam dan dia sedar yang pinggan itu perlu diletakkan kembali ke tempat asalnya agar roh itu damai. Namun lelaki itu enggan melakukannya.

Akhirnya, Tessan menjadi gila dan dibuang istana akibat mendengar suara rintihan ‘Okiku’ tanpa henti setiap malam.

Ada satu versi cerita lagi, Okiku sebenarnya bukan bunuh diri tetapi dia dikerat tangan atau diseksa oleh tuannya sebelum dia dicampakkan ke dalam perigi. Kini, perigi tersebut digelar ‘Okiku’s Well’ dan dikatakan ada di kawasan istana Himeji.

Kisah legenda Jepun itu menjadi inspirasi kepada watak Sadako/Samara, hantu budak psikik yang turut dicampak ke dalam perigi dalam filem The Ring itu.

Untuk mengetahui tentang Istana Himeji lebih lanjut, boleh klik sumber-sumber di bawah ini.

Artikel Lain Untuk Di Baca