Putera Harry Dan Meghan Markle Dikurniakan Anak Lelaki

Duchess of Sussex, Meghan Markle dikhabarkan telah selamat melahirkan bayi lelaki pada awal pagi Isnin waktu tempatan.

Berita gembira ini didedahkan sendiri oleh suaminya iaitu Putera Harry menerusi satu perkongsian di laman Instagram serta Twitter rasmi keluarga diraja Britain.

Menurut perkongsian tersebut, mereka meraikan kelahiran anak pertama itu yang beratnya 3.2 kilogram. Pada masa yang sama, mereka turut mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang saling berkongsi keterujaan dan sokongan terhadap Putera Harry dan Megan Markle.

Cahaya mata kepada pasangan ini bakal menjadi yang ke-7 dalam barisan untuk mewarisi takhta, di belakang Putera Wales, Duke of Cambridge, anak-anaknya iaitu Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis, diikuti oleh Duke of Sussex.

Kehamilan anak pertama itu diumumkan pasangan tersebut pada 15 Oktober 2018 di mana ia merupakan hari pertama dalam jelajah diraja di Australia dan New Zealand.

Segelintir pihak menjangka Meghan telah memilih untuk melahirkan anak di rumah bagi mengelakkan perhatian orang ramai di hospital.

Nenek kepada Putera Harry iaitu Ratu Elizabeth II turut memilih untuk bersalin di rumah manakala Putera William dan isterinya, Kate memilih untuk bersalin di hospital di tengah kota London.

Namun begitu, bayi itu tidak semestinya bakal mendapat gelaran putera atau puteri.

Anak Harry dan Meghan itu mungkin tidak akan dikenali sebagai putera dan sebaliknya sebagai ‘Lord’. Hal ini demikian kerana satu peraturan yang diarahkan oleh Raja George V pada 1917 telah menghadkan jumlah gelaran diraja yang diberi.

Walau bagaimanapun, semuanya bergantung kepada Ratu Elizabeth II. Apabila William dan Kate melahirkan anak sebelum ini, Ratu Elizabeth II mula campur tangan dan menentukan kesemua anak mereka akan menjadi putera dan puteri.

Artikel Lain Untuk Di Baca