Punca Misi Bantuan Ustaz Ebit Lew Ke Gaza Dipertikai, Nadir Akhirnya Buka Cerita

Selepas menerima pelbagai soalan, cacian dan fitnah daripada orang ramai yang sama sekali tidak mengenalinya, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir akhirnya tampil memberikan pandangan peribadi menerusi platform Telegram tentang ketibaan pasukan Ustaz Ebit Lew ke Palestin bagi menghulurkan bantuan.

Walaupun tidak mengenali Ebit Lew secara dekat, Nadir amat kagum dengan usaha keras pendakwah bebas itu dalam membantu mana-mana individu yang terkesan termasuk mereka yang berada di Gaza.

Sumber: Instagram Nadir Al-Nuri

“Secara peribadi, saya tidak pernah menyimpan perasaan dengki, iri hati apalagi memperlekehkan perjuangan seseorang yang umum mengetahui adalah seorang insan hebat dan terkenal di Malaysia.

Penulisan ini hanyalah tidak lain sebagai teguran kasih-sayang, iktibar dan pedoman untuk mendidik terutama bagi diri saya, team Ebit Lew dan semua yang terlibat.

Terlebih dahulu, saya juga meminta maaf sekiranya kata-kata saya sebelum ini disalahertikan atau ditafsirkan oleh pihak media, team Ebit Lew dan masyarakat sebagai unsur-unsur dengki atau mengejek walau jauh sekali di lubuk hati saya tidak berfikir sedemikian,” jelasnya.

Gembira dengan berita kehadiran Ebit dan pasukannya ke Gaza

Sebaik sahaja tahu akan berita kedatangan Ustaz Ebit Lew dan team ke Gaza, Nadir berasa gembira dan tidak sabar untuk berkhidmat bagi menjayakan misi bantuan ini bersama pendakwah bebas tersebut.

Ustaz Zul daripada team Ebit Lew telah menghubungi Nadir menerusi aplikasi WhatsApp untuk bertanya tentang prosedur yang perlu dilakukan bagi menyampaikan bantuan kepada Gaza.

Sumber: Twitter @ajwadshafie

“Saya terus menghentikan kerja-kerja harian buat sementara waktu untuk mengutamakan penyediaan kertas kerja pek makanan secara terperinci dan menghantar semula kepada individu daripada team Ebit Lew.

Selepas beberapa hari berlalu dan tiada sebarang maklum balas atau respons daripada team Ebit Lew, saya meneruskan kerja-kerja bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Saya ingatkan team Ebit Lew terlalu sibuk dengan bantuan khidmat di Malaysia kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tambahnya.

Nadir menjelaskan bahawa beliau cuba beberapa kali menghubungi Ustaz Ebit Lew bersama pasukannya apabila mereka tiba di Kaherah, Mesir tetapi tidak menerima apa-apa respons.

Selain itu, Nadir turut mempersoalkan tindakan Ebit Lew bersama pasukan beliau yang membuat keputusan untuk mendiamkan diri di saat ratusan juta rakyat Malaysia risau akan keadaan pendakwah bebas tersebut sepanjang menjalankan misi di sana.

“Selama sebulan team Ebit terus sepi, pelbagai spekulasi seperti keselamatan terancam timbul walaupun apa yang berlaku jauh dari kebenaran.

Pasukan Ebit dimaklumkan rakan-rakan di Kaherah masih di bilik hotel, boleh pergi bersiar-siar di kawasan pelancongan Hussein dan melawat piramid (seperti hantaran di laman media sosial oleh pembantu peribadinya) sambil menunggu usaha agar diberi kebenaran masuk ke Gaza.

Walaupun telah mendapat liputan luas media tentang perjalanan beliau ke Gaza, seperti dijangka usaha Ebit Lew dan pasukan terbantut apabila keizinan tidak diberikan oleh pihak Mesir,” tambahnya.

Cara terbaik untuk beri bantuan kepada penduduk di Gaza

Sumber: Telegram Nadir Al-Nuri

Nadir turut memaklumkan cara terbaik untuk memberikan bantuan kepada penduduk Gaza adalah dengan membuat pembelian barangan keperluan di dalam pasaran tempatan.

Apabila membuat pembelian barangan keperluan dalam pasaran tempatan di Palestin, ia akan memberikan banyak kebaikan yang boleh dimanfaatkan terus oleh individu yang memerlukan secara tidak langsung.

“Saya amat terkejut apabila melihat pembelian barangan bantuan empat lori yang dibeli di Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza di media sosial.

Sekiranya teguran kecil tidak dapat diterima bagaimana umat kita ingin bersatu untuk menjayakan misi lagi besar pada masa hadapan?Persoalan lain pula timbul di mata masyarakat bagaimana barang-barang yang sudah dibeli di Kaherah tersebut? Adakah bantuan ini sudah berjaya masuk?

Sumber: Telegram Nadir Al-Nuri

Setahu saya, ia masih lagi tersadai di Mesir berserta bantuan-bantuan lain yang tidak dibenarkan masuk. Bukankah ia satu pembaziran? Saya menyeru pihak team EL untuk berani tampil memberi pencerahan dan penjelasan supaya tidak timbulnya bibit-bibit fitnah lain.

Dengan block atau membuang komen-komen pertanyaan di media sosial, anda tidak dapat menyelesaikan masalah utama ini kerana tujuan asal misi adalah untuk membawa masuk bantuan tersebut,” jelasnya.

Layanan pasukan Ebit terhadap Nadir

Sumber: Twitter @ajwadshafie

Nadir mendakwa Ebit yang berada di sebelahnya sama sekali tidak menegurnya apatah lagi bersalaman. Beliau bagaimanapun masih bersangka baik dan menyatakan kemungkinan pendakwah bebas itu penat.

“Saya ditolak oleh wakil Kementerian Luar untuk berada di barisan hadapan menyambut rombongan. Apabila turun dari bas, sebahagian pasukan bersalaman sedangkan separuh lagi termasuk Ebit berjalan jauh daripada saya.

Tidak ada sepatah kata pun dituturkan oleh seluruh pasukan Ebit kepada saya. Pengawal peribadi beliau sahaja yang terus menegur dan membisik ke telinga saya, “Awak orang Malaysia kan? Jangan buat siaran langsung ya. Kita dah ada Astro di sini.”

Pelik dan terkejut, saya menyedari kehadiran tidak disenangi pada waktu itu. Saya berjalan di belakang rombongan dan cuba menjauhkan diri.

Apabila Ebit diminta duduk di kerusi VIP, wakil Kementerian Luar memanggil saya dan meminta saya duduk di sebelahnya. Saya menolak kerana tidak mahu menimbulkan suasana tidak selesa tetapi akhirnya akur setelah dipaksa.

Sumber: Telegram Nadir Al-Nuri

Mereka bangun untuk solat. Saya memerhatikan dari jauh dan cuba memahami apa yang sedang berlaku. Beberapa keping gambar diambil untuk memaklumkan kepada pihak berwajib bahawa mereka telah selamat sampai. Tiba-tiba, pengawal peribadi yang sama datang lagi,” ujar Nadir lagi.

Nadir diminta untuk memadam semua gambar dan video yang diambilnya dan akui berasa agak terkilan apabila diminta berbuat demikian.

Susulan daripada insiden tersebut, Nadir tidak lagi mengambil tahu akan segala perkembangan Ebit dan pasukannya walaupun telah dijemput oleh Kementerian Luar bagi meraikan kehadiran mereka.

Sumber: Telegram Nadir Al-Nuri

“Saya tidak minta dihormati atau dipuji. Cita-cita saya hanyalah untuk membantu dan berkhidmat sedaya mungkin bagi menjayakan misi team Ebit atau paling kurang dapat bersalam dengan beliau!

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya ditegur dengan agak keras oleh wakil team Ebit sehingga saya melenting. Beliau kemudiannya meminta maaf dan menjelaskan bahawa hanya menurut arahan sahaja.

Sumber: Telegram Nadir Al-Nuri

Saya malas mengambil tahu apa keperluan dibuka rumah anak yatim. Terdapat 20,000 anak yatim di seluruh Gaza tetapi hanya ada satu rumah anak yatim di sini iaitu Ma’ahad Al-Amal.

Ma’ahad Al-Amal menempatkan hanya 120 anak yatim kerana budaya di sini yang tidak membenarkan anak-anak yatim tinggal di rumah anak yatim tetapi dijaga oleh keluarga kembangan,” jelas Nadir.

Cara digunakan Ebit untuk masuk Gaza beri kesan kepada NGO lain

Sumber: Telegram Nadir Al-Nuri

Nadir mendakwa cara yang digunakan oleh Ustaz Ebit Lew secara tidak langsung memberikan kesan terhadap NGO yang ingin menghulurkan bantuan di bumi Gaza.

“Sekiranya banyak NGO sebelum ini boleh masuk Gaza melalui cara lama iaitu bersama Miles of Smiles, mereka kini terpaksa menggunakan cara baharu dengan membayar harga tinggi kepada syarikat.

Desakan dan kesungguhan pihak kerajaan dalam membuat kerjasama Malaysia-Mesir semata-mata untuk melepaskan misi pasukan Ebit supaya mereka berjaya masuk ke Gaza tanpa menghiraukan kos yang perlu dibayar dan kesan besar selepas itu.

Hasil desakan tersebut, mereka berjaya masuk Gaza dengan syarat perlu menggunakan khidmat syarikat Hala. Syarikat Hala bukan rahsia untuk penduduk Gaza. Khidmat mereka boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang mampu membayar kosnya iaitu $1,200/orang untuk orang tempatan bagi perjalanan masuk dan keluar ke Gaza.

Dengan bayaran tersebut, mereka akan menerima layanan istimewa iaitu tidak perlu berhenti di banyak checkpoint dan berhenti di bottle neck merentasi Terusan Suez yang biasanya mengambil masa 2-3 hari untuk dilalui,” tambahnya.

Sumber: Telegram Nadir Al-Nuri

Akhir kata, Nadir sekali lagi memohon maaf kepada orang ramai dan meminta pasukan Ebit untuk memberikan penerangan yang sebenar kepada rakyat Malaysia.

Sumber: Telegram Nadir Al-Nuri

Anda boleh klik pada pautan ini untuk membaca penjelasan Nadir tentang sebab kenapa misi bantuan Ebit Lew dipertikai orang ramai.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Ustaz Ebit Lew, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca