“Pulangkan Tulang Aku!” Lelaki Ini Kongsikan Kisah Seorang Penggali Kubur Di Kampungnya

Hari ini kami ingin menceritakan satu kisah dari penulis ini semasa berbual dengan Haji Abdul Rohman yang merupakan seorang penggali kubur. Kejadian itu berlaku selepas dia memindahkan 108 kubur ke lokasi baru kerana kawasan tersebut ingin dibangunkan. Kisah ini adalah di perkampungan penulis di Sedenak, Kulai Johor.

“Mungkin ada sedikit serpihan tulang yang tidak dikutip habis. Malam itu, saya bermimpi didatangi mayat yang meminta agar tulangnya dipulangkan kembali. Sampai saya tak tidur malam memikirkan hal ini. Bagaimana boleh berlaku begini. Bila mahu lelapkan mata, bayang itu muncul kembali.”

“Esoknya saya kembali ke tanah perkuburan dan alhamdulillah, saya temui baki tulang miliknya. Sejak itu, saya tak ada mimpi lagi,” katanya yang memulakan perbualan.

Kongsi Haji Abdul Rohman lagi, semasa di tanah perkuburan itu, dirinya dan para sahabat diberi peluang melihat kebesaran Allah taala.

“Ada satu kubur mualaf. Mayatnya masih utuh biarpun sudah lama dikebumikan. Begitu juga seorang isteri yang semasa hidupnya hanya mengamalkan Surah Al-Fatihah dalam setiap langkah dan tindakannya. Solatnya biasa-biasa saja, tapi arwah bibirnya tak pernah lekang dengan bacaan Surah Al-Fatihah.”

“Alhamdulillah, semasa saya berbual dengan suaminya, katanya, isterinya sering membaca surah itu. Jenazahnya masih elok, tulangnya masih panjang. Kain kafannya juga masih utuh,” katanya turut memaklumkan, ada satu jenazah melibatkan seorang gadis remaja yang masih utuh.

Jelas Haji Abdul Rohman, kata bapanya arwah anaknya itu meninggal akibat disihir kerana menolak cinta seorang lelaki semasa hayatnya dan ternyata, Allah memperlihatkan keagungannya di mana mayat remaja berkenaan masih utuh seperti masih baru ditanam.

Tidak hanya diperlihatkan sesuatu yang luar biasa, Haji Abdul Rohman dan pembantunya dipertontonkan jenazah seorang lelaki yang kurang seminggu meninggal dunia sudah membusuk dan tulang temulangnya sudah hancur.

“Masya Allah, bau kuburnya terlalu busuk. Baunya melekat ke semua pakaian biar saya sudah membasuh tubuh saya di lombong berhampiran. Bila ditanya kepada orang yang mengenali jenazah ini, rupanya semasa hidup lelaki ini selalu memukul isterinya dan turut panas baran. Sememangnya arwah seorang yang suka tunjuk kuat kepada orang lain semasa hayatnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Semoga sama-sama kita dapat ibrah dari kisah benar di atas.

Perkongsian dengan izin penulis asal, Rashidi Al-jawawi

Artikel Lain Untuk Di Baca