Pukul Kanak-Kanak Nakal Dengan Kayu, Ini 6 Festival Yang Disambut Di Beberapa Negara Di Dunia

Terdapat pelbagai festival yang diraikan oleh masyarakat di serata dunia. Perayaan-perayaan ini kaya dengan adat, pemakaian yang unik dan muzik yang menarik.

Selain menjadi simbol bagi sesetengah bangsa untuk menonjolkan identiti mereka, ia juga menjadi satu tarikan pelancong untuk datang ke sesebuah negara tersebut.

Berikut merupakan enam festival yang disambut oleh sesetengah masyarakat di dunia.

1. Grebeg Sudiro, Jawa Tengah

Grebeg Sudiro merupakan perayaan yang dirayakan oleh kaum Tionhua di Jawa. Disambut pada minggu sebelum Tahun Baru Cina, festival ini merupakan lambang tradisi masyarakat Jawa dan Cina.

Diraikan pada bulan Februari, perayaan ini menonjolkan keharmonian antara etnik Jawa dan Tionghua yang tinggal dalam satu kelompok.

2. Festival Songkran, Thailand

Tahun baru Thai ini disambut pada bulan April pada setiap tahun di negara itu. Festival Songkran ini dirayakan bertujuan untuk menghilangkan nasib buruk pada tahun akan datang.

Selama tiga hari masyarakat Thailand akan sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti mencuci patung Buddha, membuat pagoda dari pasir dan menyertai perang air.

Merupakan aktiviti yang paling digemari ramai, perang air ini mampu menarik pelancong dari serata dunia untuk turut sama menyertai festival yang dikatakan mampu membawa tuah kepada pesertanya pada tahun hadapan.

3. Festival bunga tulip, Korea Selatan

Diraikan pada musim bunga, festival yang berlangsung di daerah Taean dekat Korea Selatan ini mempamerkan pelbagai jenis bunga yang disusun rapi dengan warna yang menarik.

Bagi pelancong-pelancong yang hadir, mereka boleh melihat lebih 1.5 juta bunga tulip yang terdiri daripada 300 spesies yang berbeza.

4. Festival layang-layang, Malaysia

Mula dianjurkan pada tahun 1995, pesta layang-layang ini merupakan acara tahunan yang diadakan di Pasir Gudang, Johor.

Acara ini menjadi semakin menarik setiap tahun kerana peserta sering memperagakan rekaan layang-layang yang terdiri daripada pelbagai saiz, bentuk dan warna yang menarik lagi kreatif.

Festival ini bukan sahaja disertai oleh rakyat Malaysia, malah, ia juga disertai peserta dari luar negara seperti Australia, Brunei, Kemboja, China, Jerman, Indonesia, Jepun, Korea, New Zealand, Sweden, Scotland, Thailand dan Amerika Syarikat.

5. Loy Krathong, Thailand

Loy Krathong merupakan perayaan air dan cahaya di Thailand yang diadakan setiap tahun pada bulan November.

Festival ini merupakan satu perayaan air dimana orang ramai akan melepaskan segala perkara buruk dan membuat permintaan.

Loy Krathong merupakan sebuah bot terapung yang dihiasi dengan kemenyan, lilin dan bunga. Penganut Buddha mempercayai bahawa acara Krathong mampu menghapuskan dosa, nasib malang, dan penderitaan apabila dibebaskan di laut.

Selain itu, terdapat juga aktiviti lain yang dijalankan semasa festival ini berlansung seperti pameran dan pelepasan tanglung sambil membuat permintaan.

6. Krampusnacht, Austria

Perayaan Krampusnacht merupakan perayaan yang disambut pada bulan Disember dan turut dikenali sebagai pre-Christmas.

Berbeza dengan perayaan lain, Krampusnacht melibatkan orang ramai di Austria untuk mengenakan kostum mengerikan yang digelar Krampus.

Dikenali sebagai iblis dalam agama Nasrani, Krampus merupakan seekor makhluk yang digambarkan menyerupai separuh kambing dan separuh syaitan yang berbadan manusia.

Pada perayaan ini, masyarakat Autralia akan mengenakan pakaian seperti Krampus sambil membawa sebatang tongkat kayu.

Kemudian, mereka akan menangkap dan memukul anak-anak nakal dengan harapan mereka akan menjadi baik dan mendapat hadiah daripada Santa pada Hari Natal kelak.

Kesimpulan, terdapat pelbagai perayaan yang unik dan menarik di setiap negara. Ini menunjukkan masyarakat dunia mempunyai pelbagai adat untuk dikongsikan dengan seluruh warga dunia.

Penulis:

• Noor Azwanie binti Arifin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca