Baru-baru ini, sebuah sekolah di Miri, Sarawak menjadi tular di media sosial kerana projek yang dijalankan oleh pihak sekolah tersebut.
Projek apakah yang dijalankan oleh sekolah tersebut?
SMK Agama Miri (SMKAMi) telah menjalankan satu projek yang diberi nama ‘Longkang Bersih SMKAMi’. Projek ini adalah satu inisiatif pihak sekolah untuk menjadikan sekolah berada dalam keadaan bersih dan ceria. Tambahan lagi, beberapa ekor ikan koi dilepaskan ke dalam longkang tersebut seperti yang kita lihat di Jepun.

Selain daripada itu, SMKAMi juga telah menerapkan amalan-amalan kebersihan yang diamalkan oleh seluruh warganya selama beberapa tahun dan nilai-nilai murni juga dapat dilihat terhasil daripada amalan ini seperti:
- Tiada sebarang aktiviti vandalisme berlaku di sekolah
- Tiada sebarang tong sampah diletakkan di dalam bilik darjah
- Budaya memakai selipar apabila masuk ke tandas
- Budaya ibu bapa membawa pulang sisa-sisa makanan anak-anak apabila bertemu pada setiap hujung minggu
Dalam satu status Facebook yang dimuat naik, pihak sekolah juga menyebut bahawa amalan-amalan tersebut tidak pernah gagal dilaksanakan dari awal pengenalannya di SMKAMi. Amalan-amalan tersebut sudah sebati dengan diri warga sekolah tersebut.

Seperti di Jepun, ikan koi atau ‘carp’ di lepaskan di dalam longkang dan terusan-terusan air. Di Shimabara, Nagasaki, terdapat satu tempat tarikan pelancong yang diberi nama ‘Carp Street’.

Apakah Maksud Ikan Koi Kepada Masyarakat Di Jepun?
Dalam budaya Jepun, ikan koi adalah ikan yang paling dihormati dan begitu simbolik kepada identiti negara Jepun.
Ikan koi dipercayai sebagai simbol tuah, kemakmuran dan nasib yang baik dalam kalangan masyarakat di Jepun.
Ikan koi juga melambangkan ketabahan dan kekuatan. Hal ini kerana ikan koi akan terus berenang ke hulu sungai dan tidak pernah berhenti. Ini menunjukkan prinsip ‘go with the flow’.
Perlambangan ini mewakili satu situasi di mana seseorang boleh kekal tabah dan kuat, tidak pernah berputus asa serta mengumpulkan kekuatan dalam diri untuk terus bangkit dan maju ke hadapan.
Semoga SMKAMi akan terus mengamalkan amalan-amalan kebersihan seperti ini dan diharapkan sekolah-sekolah lain dapat melakukan sesuatu projek seperti ini dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang bersih dan ceria.
Sumber: Facebook SMK Agama Miri dan Quora