Tatkala masyarakat di seluruh dunia sedang berwaspada terhadap penularan wabak COVID-19, seorang lelaki di Rusia ditahan polis kerana berpura-pura dijangkiti penyakit berkenaan dan jatuh pengsan di dalam kereta api metro.
Rakaman yang dikongsikan ke secara atas talian itu memaparkan seorang lelaki muda yang memakai penutup mulut dan hidung sedang menaiki kereta api metro di Moscow, Rusia sebelum tiba-tiba ‘pengsan’ dan ‘kekejangan’.
Beberapa individu yang dipercayai merupakan rakan subahat suspek kemudiannya memberitahu penumpang di dalam kereta api berkenaan bahawa tertuduh dijangkiti COVID-19. Panik tercetus selepas itu tatkala pengguna kemudahan awam berkenaan mula menjauhkan diri.

Menurut laporan agensi media TASS, suspek yang sudah dikenal pasti sebagai Karomatullo Dzhaborov ditahan pihak berkuasa negara itu pada 8 Februari lalu atas perbuatannya.
Difahamkan, jika dia didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun di Rusia.
Dalam pada itu, Menteri Dalaman Rusia mengesahkan bahawa pihak polis juga sudah mengenal pasti dua rakan subahat suspek dan perintah untuk tidak meninggalkan negara sudah dikenakan ke atas mereka.
Sementara itu, peguam yang mewakili suspek menjelaskan bahawa anak guamnya sedia untuk disoal siasat selepas dihubungi pihak berkuasa.

“Dia (Karomatullo) terkejut dengan penahanan itu. Rakaman video yang dibuat hanyalah untuk menyedarkan orang ramai mengenai bahaya COVID-19. Tiada unsur jenayah di situ,” jelasnya.
Tambah peguam itu lagi, video prank di dalam kereta api metro itu tidak seharusnya ditonton secara berasingan dengan klip rakaman lain yang memaparkan Karomatullo menemu ramah farmasi tempatan yang menjual penutup mulut dan hidung pada harga yang terlalu tinggi.
“Mereka hanya mahu pihak berkuasa menyedari akan masalah yang sedang berlaku di negara itu,” kata peguam berkenaan.

Dalam pada itu, Rusia telah merekodkan dua kes jangkitan COVID-19 selepas wabak berbahaya itu merebak ke kira-kira 25 negara yang lain.
Selain itu, Moscow turut mengenakan langkah kuarantin terhadap kira-kira 144 individu di kemudahan di Siberia berhampiran lokasi di mana salah seorang daripada mereka yang dijangkiti kini dirawat.
Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, sila klik pada pautan di bawah: