Seorang wanita yang berasal dari Afrika Selatan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memotong kemaluan pemuda yang disyaki telah membunuh dan merogol anak perempuannya yang berusia lima tahun.
Veronique Makwena, 23, didapati bersalah atas kesalahan cuba membunuh seorang lelaki selepas mayat anak perempuannya, Chantelle ditemui di dalam sebuah tandas awam. Turut didakwa bersamanya adalah kakak ipar Veronique, Noxolo Maneli dan seorang rakan, Siyabonga Pakade yang dikatakan bersubahat dalam insiden terbabit.
Peguam bela yang mewakili Veronique, Fundile Matiti tidak menafikan serangan tersebut namun dia meminta agak pihak mahkamah mengurangkan pertuduhan yang dijatuhkan ke atas anak guamnya.
Chantelle dilaporkan hilang dari rumahnya di Port Elizabeth pada bulan Ogos lalu. Ketika kejadian, kanak-kanak itu dijaga oleh seorang rakan ketika ibunya keluar ke kedai yang terletak agak jauh dari kediaman mereka.
Menurut Veronique dia menghabiskan masa sepanjang malam untuk mencari anak gadisnya itu namun gagal.
Mayat Chantelle hanya ditemui keesokan harinya dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah tandas awam oleh suami Veronique sendiri.
Seorang lelaki berusia lingkungan 20an telah dibawa ke balai polis untuk proses pengambilan DNA. Namun begitu, pemuda yang juga merupakan kenalan keluarga Chantelle itu tidak ditahan serta-merta ekoran penangkapan hanya boleh dilakukan setelah keputusan keluar.
Dek kerana mahu menuntut bela ke atas kematian anak sendiri, Veronique bersama kakak ipar dan seorang rakannya telah menyerang lelaki berkenaan dengan memotong kemaluannya.
Difahamkan, lelaki berkenaan sudah dibawa ke hospital sejurus selepas insiden. Dia terpaksa menjalani sebuah pembedahan bagi menyambung semula alat kelaminnya yang terputus itu.
Sementara itu, Veronique segera dicekup polis dan dihumban ke dalam penjara selama dua minggu sambil menunggu perbicaraan.
Kes berkenaan telah menarik perhatian pelbagai siaran media tempatan yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib yang menimpa ibu muda tersebut. Sebuah tabung amal telah dihasilkan oleh kumpulan Enough is Enough bagi membantu membayar ikat jamin Veronique dan meringankan beban perbelanjaan wanita berkenaan.
“Apabila Chantelle ditemui, hati saya remuk. Saya berasa seakan dunia saya hancur,” ujar Veronique dalam satu temu bual.
Kes berkenaan akan disebut semula pada bulan Februari tahun hadapan ekoran siasatan lanjut yang masih dijalankan.