Seorang lelaki Turki berusia 56 tahun dilaporkan menjalani kuarantin selama 14 bulan dan diuji positif COVID-19 sebanyak 78 kali.
Ketika pertama kali diuji positif COVID-19 pada November 2020, Muzaffer Kayasan telah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan sehingga penyakitnya menjadi kurang teruk.
Namun sejak itu dia tidak pernah mendapat keputusan negatif. Dia berjaya mengatasi gejala COVID-19 yang teruk tetapi virus itu kekal dalam badannya.
Kayasan telah dimasukkan ke hospital dan kini menjalani kuarantin di rumah sendiri selama lebih setahun. Dia sekarang masih bergelut mencari jalan untuk kembali menjalani kehidupan lamanya.
Situasi aneh di mana badannya masih menyimpan virus tersebut dalam tempoh yang lama disebabkan oleh penyakit leukimia yang dihidapinya serta mengalami gangguan imunisasi badan.
Walaupun doktor memberi ubat penggalak untuk meningkatkan sistem imun, tetapi prosesnya agak lama dan sukar.
Kuarantin yang lama ini turut memberi kesan kepada kehidupan sosial Kayasan sehingga menyebabkan dia tidak dapat berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan.
Dia hanya dibenarkan melihat anak dan cucu melalui tingkap. Hanya isteri dan anak bongsunya tinggal bersama.
“Saya tiada masalah di sini selain tidak dapat menyentuh orang tersayang. Ia sangat sukar. Saya tidak boleh mendapatkan vaksin kerana keadaan saya,’’ kata Kayasan.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: