Positif COVID-19, Neelofa Mohon Doa Untuk Anak Sepupu

Aktres dan pengacara terkenal, Neelofa baru-baru ini mendedahkan anak kepada sepupunya yang berusia tujuh bulan disahkan positif jangkitan COVID-19.

Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor menerusi ciapan di laman Twitter miliknya memohon orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan anak sepupunya yang bernama Noor Sameera Mohd Nazlee.

Memetik laporan BH Online, Neelofa menyatakan anak kecil berusia tujuh bulan itu dipercayai dijangkiti wabak itu daripada ahli keluarga suami sepupunya yang baru pulang dari luar negara.

“Sepupu saya menetap di Brunei bersama keluarga suami. Salah seorang ahli keluarga baru pulang dari luar negara. Mengikut cerita, dalam pesawat, ada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang dikatakan positif COVID-19. Apabila pulang ke rumah, virus itu dikatakan berjangkit pada bayi ini (Sameera). Namun, ujian terhadap ahli keluarga yang lain semuanya menunjukkan keputusan negatif termasuk sepupu saya,” ujarnya.

Walaupun begitu, Neelofa menjelaskan bahawa sepupunya perlu diasingkan dengan anak-anak serta suami selama dua minggu.

Jelasnya, “Doktor beritahu potensi sepupu saya dijangkiti virus itu sangat tinggi. Ini kerana dia bersama dengan anaknya setiap masa.”

Dalam pada itu, Neelofa turut menasihatkan orang ramai untuk kekal berada di rumah dan bersama-sama membantu mengekang penularan COVID-19.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan penularan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca