Populariti K-Drama Pengaruh Indonesia Hasilkan Soju Versi Halal

Di saat gelombang hiburan dari Korea terus mempengaruhi gaya hidup terutamanya generasi muda dunia, seorang pengusaha makanan dari Bandung, Indonesia tampil dengan idea yang cukup menarik dalam mempelbagaikan produknya mengikut trend semasa.

Pengusaha makanan yang dikenali sebagai Sovi itu bercerita kepada portal berita Indonesia tentang penghasilan minuman tradisional Korea yang sering dilihat dalam drama-drama Korea iaitu soju. Menariknya, Sovi mengolah ramuan dan cara penghasilan minuman itu dan tampil dengan soju versi halal.

Sumber: Instagram Warung Mini Ummik Project

“Minuman Mojiso ini tidak seperti soju di Korea. Bahannya 100 peratus berbeza. Kerana itulah ia halal,” ujar Sovi.

Bagi mereka yang tidak tahu, soju tulen merupakan minuman keras yang mengandungi 17 sehingga 20 peratus alkohol. Ia boleh dibuat menggunakan nasi, gandum atau kentang.

Jelas Sovi, idea untuk membuat minuman tersebut dalam versi halal tercetus selepas dia menonton drama bersiri Korea yang mendorongnya untuk mencuba makanan dan minuman negara tersebut.

“Saya telah mencuba banyak makanan Korea yang halal, namun masih belum mencuba minumannya,” cerita Sovi.

Sumber: Instagram Warung Mini Ummik Project

Sebaik sahaja mempelajari resepi mojito daripada rakan yang mengusahakan kafe, Sovi kemudian mencuba resepi soju. Dia telah menghasilkan beberapa perisa termasuklah yogurt, laici, teh hijau dan strawberi.

Puas hati dengan hasil ciptaannya itu, Sovi mula memasarkan minuman tersebut dengan rakannya, Rinda yang mempunyai kedai makanan dalam talian iaitu Warung Mini Ummik Project.

Sumber: Instagram Warung Mini Ummik Project

Soju versi bebas alkohol itu yang diberi nama Mojiso turut dijual dalam botol hijau sepertimana versi asalnya. Satu botol Mojiso dengan kandungan 360 mililiter dijual pada harga 45,000 Rupiah (RM12.80) dan sedia dihantar kepada para pelanggan di seluruh Pulau Jawa.

Tinjauan kami di media sosial mendapati bahawa rata-rata pelanggan yang pernah mencuba minuman itu menyifatkannya mempunyai rasa soda yang jauh lebih ringan dan cukup menyegarkan berbanding minuman soda lain.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca