Polis Secara Rasmi Mengesahkan Mayat Yang Ditemui Dari Bangkai Pesawat Adalah Emiliano Sala

Mayat yang ditemui dari bangkai pesawat yang terhempas di Selat Inggeris telah disahkan oleh polis sebagai pemain bola sepak kelahiran Argentina, Emiliano Sala.

Mayat penyerang yang baru saja menandatangani perjanjian untuk menyertai Cardiff City itu dikesan oleh pasukan penyelamat pada hari Rabu lalu tidak jauh dari tempat pesawat dinaikinya dilaporkan hilang berdekatan kepulauan Guernsey.

“Mayat yang ditemui itu terus dibawa ke Pelabuhan Portland hari ini dan telah disahkan oleh pakar sebagai pemain bola sepak profesional Emiliano Sala,” polis Dorset, daerah di mana badan itu ditemui, berkata di Twitter.

“Ahli keluarga Emiliano Sala dan juruterbang, David Ibbotson telah dimaklumkan mengenai berita ini dan sekumpulan pegawai perhubungan yang terlatih khas akan bersama mereka dalam melalui waktu-waktu sukar ini. Segala ingatan dan sokongan kami akan terus dihulurkan kepada mereka pada masa sukar ini.”

Selepas dua hari menandatangani perjanjian untuk menyertai pasukan Liga Perdana Inggeris, Cardiff City dengan nilai harga £15 juta (RM79.5 juta) yang mencatat rekod perpindahan termahal kelab, Emiliano Sala dikhabarkan hilang dari radar ketika berada di dalam penerbangan dari Perancis ke Cardiff menaiki sebuah pesawat ringan jenis Piper FA-46 Malibu.

Cardiff City telah menyiarkan satu kenyataan rasmi di laman web kelab itu tentang perkara ini. Berikut adalah petikan kenyataan kelab itu di Twitter rasmi mereka.

“Kami menghulurkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga Emiliano. Dia dan David akan sentiasa dalam ingatan.”

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca