Polis Sah 2 Mangsa Terkorban, Tanah Runtuh Di Jalan Cameron Highlands

2 mangsa terkorban

Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Simpang Pulau ke Cameron Highlands menyebabkan dua mangsa terkorban.

Seorang pemandu lori sayur berusia 31 tahun dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi ditemui kira-kira jam 8 malam Khamis.

Mayat mangsa yang terperangkap dalam kenderaannya itu dibawa keluar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10.55 malam.

Manakala seorang lagi mangsa yang terkorban iaitu Tan Chee Heng, 36 turut sama terperangkap dalam  insiden runtuhan itu.

Mayat pemandu Toyota Velfire tersebut dikeluarkan oleh pasukan SAR Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada jam 9.55 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Buat masa ini dua sahaja mangsa yang ditemui dalam kejadian. Namun begitu, mereka membuat keputusan untuk meneruskan pencarian kerana dikhuatiri jika ada lagi mangsa yang tertimbus.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima jam 1.44 petang semalam.

Runtuhan yang berlaku  sepanjang 100 meter menyebabkan laluan itu ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana menghalang kedua-dua arah jalan.

Difahamkan, berkemungkinan hujan yang berterusan merupakan salah satu punca berlakunya hakisan tanah di kawasan cerun potong laluan berkenaan.

Bagaimanapun, punca tanah runtuh masih dalam siasatan lanjut. Pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan pihak konsesi jalan persekutuan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca