Pihak polis menafikan dakwaan yang mengatakan penduduk Raub tidak dibenarkan keluar rumah selepas pukul 12 tengah hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepertimana yang ditularkan di media sosial sejak semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub iaitu Superintendan Kama Azural Mohamed, polis tidak pernah mengeluarkan kenyataan demikian sama ada menerusi media sosial atau kenyataan media.
“Oleh itu, dakwaan bahawa polis Raub mengehadkan tempoh keluar rumah selama lima jam bermula jam 7 pagi kerana dikatakan keadaan di sini seperti ‘pesta’ pada waktu tengah hari adalah tidak benar.
“Dakwaan berlaku kesesakan di Bandar Raub juga tidak benar kerana kerana sejak PKP berkuatkuasa pada 18 Mac lalu, tiada aduan kesesakan lalu lintas diterima,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Sehubungan itu, Kama Azural menggesa seluruh masyarakat supaya tidak panik dan tidak menyebarkan berita palsu di media sosial sehingga boleh menimbulkan kebimbangan awam.
Tambah Kama Azural lagi, sejak pelaksanaan PKP, penduduk Raub memberikan kerjasama yang baik sehingga daerah itu mencatatkan pematuhan sebanyak 97 peratus di mana ia merupakan antara yang tertinggi bagi daerah di Pahang.
Untuk rekod, PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lepas mengumumkan tempoh pelaksanaannya dilanjutkan sehingga 14 April ini.
Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah: