Polis Menjejaki Pemilik Kereta Dan Dua Kanak-Kanak Beraksi Bagaikan ‘Superman’ Di Jalan

Sebuah video yang memaparkan dua orang kanak-kanak melakukan aksi ‘Superman’ di atas bumbung kereta ketika kenderaan sedang bergerak menjadi tular di media sosial.

Polis telah menerima aduan daripada seorang individu berhubung penularan rakaman video terbabit yang dipercayai berlaku di Taman Scientax di Pasir Gudang, Johor Bahru.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Ismail Dollah, individu yang memandu kereta Toyota Vios dengan nombor pendaftaran JLE 882 itu turut didapati melanggar lampu isyarat merah.

“Perbuatan yang dilakukan dalam video berkenaan boleh membahayakan keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

Berikutan insiden itu, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan pemilik kereta, pemandu dan juga kanak-kanak yang terlibat.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perlakuan atau perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

“Kami turut memohon kerjasama saksi kejadian atau mereka yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Seri Alam di nombor 07-3864222 bagi membantu siasatan,” kata Supt Ismail.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca