Polis Buru Suspek Samun Di Stesen MRT

Sebuah video rakaman CCTV yang viral di internet memaparkan seorang penyamun memukul seorang wanita berusia 48 tahun di dalam sebuah stesen MRT di Cheras telah mencetuskan kemarahan dan pelbagai reaksi warganet yang nyata kecewa dengan kejadian itu.

Susulan daripada itu, polis sedang memburu suspek utama kejadian yang berlaku pada Khamis lalu itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.45 pagi ketika mangsa berada di dalam lif berkenaan bersama suspek.

Dalam rakaman video berdurasi 57 saat tersebut, suspek memasuki lif berkenaan bersama-sama suspek sebelum dilihat berulang kali menumbuk dan menendang wanita itu tanpa belas kasihan. Lelaki itu kemudiannya menarik beg tangan mangsa dan mengambil dompet wanita itu sebelum melarikan diri.

“Mangsa mengalami kecederaan bengkak di dahi dan kesakitan di badan serta kehilangan dokumen peribadi serta wang tunai berjumlah RM400.”

“Polis telah merakam percakapan daripada tiga orang saksi dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

SAC Rusdi turut menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis yang berhampiran secepat mungkin bagi membantu siasatan.

Artikel Lain Untuk Di Baca