“Polis Bagi Amaran Kepada Jemaah Lelaki Malaysia Yang Berpakaian Wanita Di Makkah.” – PU Amin

Isu jemaah lelaki Malaysia yang berpakaian seperti wanita semasa mengerjakan umrah khabarnya bukan sahaja mendapat perhatian rakyat negara kita tetapi juga pihak berkuasa di Makkah.

Perkara tersebut dikongsi oleh salah seorang peserta Pencetus Ummah iaitu PU Amin yang kini sedang berada di Tanah Suci. Difahamkan, PU Amin berada di sana mengiringi jemaah sebagai mutawif.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, PU Amin memberitahu yang dia telah ditegur oleh polis Arab Saudi di mana mereka bertanya sama ada dia mengetahui mengenai isu tersebut.

“Dia tanya tentang hal yang sedang kecoh mengenai lelaki berpakai seperti perempuan itu dari Malaysia ke? Saya kata saya tak tahu cerita (buat-buat tak tahu),” coret PU Amin.

Menurut PU Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, semasa berbual dengan polis berkenaan, dia diingatkan supaya jangan sesekali ada mana-mana pihak melakukan sebarang perkara yang melanggar undang-undang kerana ini merupakan tempat ibadah dan tempat suci.

Sekiranya ditangkap, jemaah dari Malaysia akan mempunyai masalah untuk menunaikan ibadah umrah.

Perkongsian PU Amin itu dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang usahawan kosmetik popular Malaysia yang memuat naik foto dirinya berpakaian wanita semasa berkunjung ke Makkah.

Tidak cukup dengan itu, selebriti yang dipersoalkan jantinanya itu turut memuat naik foto dirinya mengenakan telekung semasa mengerjakan umrah.

Ujar PU Amin, dalam isu tersebut, agensi yang membawa usahawan tersebut tidak bersalah memandangkan pihak mereka sudah pun memaklumkan si dia untuk berpakaian mengikut jantina.

Walau bagaimanapun, usahawan tersebut dilaporkan memilih untuk sama sekali tidak mengendahkan peraturan itu.

Pada masa yang sama, PU Amin juga memaklumkan bahawa ramai petugas umrah di Makkah telah tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai kes itu.

Rata-rata berpendapat bahawa tindakan usahawan itu merupakan sesuatu yang sememangnya tidak wajar dilakukan. Malah, ada dalam kalangan mereka yang bertindak melaporkan perkara itu kepada pengurusan Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi.

Dalam posting sama, PU Amin mendedahkan yang sebelum ini, ramai golongan yang disebut sebagai pondan dan maknyah menunaikan ibadah umrah namun perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana mereka berihram dan menunaikan solat bersama jemaah lelaki.

Apa-apa pun, janganlah sesekali kita mempermainkan agama, lebih-lebih lagi apabila berada di Tanah Suci.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi tentang kisah jemaah haji zaman dahulu yang bersabung nyawa di tengah lautan untuk ke Makkah. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel penuh:

Artikel Lain Untuk Di Baca