Pokok Lidah Jin Boleh Jejaskan Kesihatan Jika Ditanam Di Dalam Rumah – Pakar

Sejak kebelakangan ini, pokok Lidah Jin atau juga dikenali sebagai pokok Lidah Mentua semakin mendapat tempat terutamanya di hati kaum wanita untuk dijadikan sebagai dekorasi di dalam rumah. Hal ini demikian kerana pokok ini sangat mudah dijaga dan tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak untuk hidup.

Walau bagaimanapun, seorang ahli Kimia iaitu Dr. Fatimah Salim menzahirkan rasa bimbang terhadap penyimpanan pokok dengan nama saintifik Sansevieria Trifasciata itu di dalam rumah lebih-lebih lagi sekiranya ia ditanam di dalam bekas menggunakan tanah. Ini kerana mikroorganisma boleh membiak dan sekali gus akan menjejaskan kesihatan golongan tertentu.

Menurut Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan Sebatian Semulajadi Atta-ur-Rahman (AuRIns), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor itu, tanah merupakan tempat paling kondusif untuk mikroorganisma bermandiri kerana kandungan bahan organik, inorganik dan mineral yang tinggi.

“Setiap jenis tanah didiami mikroorganisma yang berbeza seperti bakteria, alga, kulat, protozoa, actinomycetes dan ciliata.

Setiap satu gram tanah yang subur mengandungi 10 bilion sel mikroorganisma terutama berdekatan dengan akar pokok (rhizosphere).

Sebab itu tanah tidak sepatutnya disimpan di dalam rumah, apa lagi untuk individu yang lemah sistem imuniti kerana akan mudah terkesan dengan kehadiran mikroorganisma ini,” kata Dr. Fatimah seperti yang dilaporkan Bernama.

Pada masa yang sama, Dr. Fatimah yang juga merupakan pensyarah kanan kimia, Pusat Asasi UiTM, Dengkil, Selangor berkata terdapat alternatif kepada tanah sekiranya ingin menyimpan pokok itu di dalam rumah. Antaranya tanah liat yang dikembangkan atau Leca, sabut kelapa, sekam padi, ‘perlite’ iaitu sejenis mineral hasil letusan gunung atau menggunakan kaedah hidroponik.

“Boleh juga gunakan air sahaja namun harus rajin menukarnya untuk elak nyamuk bertelur dan mengurangkan mikoorganisma bermandiri.

Aktiviti mikoorganisma mudah dikesan iaitu dengan kehadiran bau kurang menyenangkan daripada bekas atau bahagian yang terendam seakan berlumut,” jelas Dr. Fatimah.

Dalam pada itu, pada 7 Jun lalu, Pusat Racun Negara telah memuat naik satu hantaran di laman Facebook rasmi menasihati orang ramai terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil supaya berwaspada kerana pokok tersebut mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai Saponin di mana ia boleh menyebabkan gejala ringan seperti muntah, cirit birit dan ruam jika termakan.

Selain itu, ia juga mungkin menyebabkan gejala lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing termasuklah pengeluaran air liur berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.

“Dalam keghairahan menanam pokok tular ini di dalam rumah, pastikan anda berwaspada khususnya jika mempunyai anak-anak kecil, mereka mungkin terdedah pada bahan aktif Saponin yang berisiko menyebabkan keracunan,” menurut hantaran itu.

Untuk rekod, permintaan terhadap pokok Lidah Jin semakin meningkat selepas tular info di media sosial yang mengatakan ia berupaya untuk membersihkan udara.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan tanaman, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca