Bintang Manchester United, Paul Pogba berkongsi kisah bagaimana hatinya terbuka untuk memeluk Islam ketika berusia 20-an.
Pemain tengah skuad yang terkenal dengan julukan The Red Devils itu mendedahkan bahawa sebelum bergelar Muslim, dia selalu menanyakan dirinya mengenai banyak perkara. Sebaik sahaja dia memeluk Islam, Pogba akui yang jiwanya kini jauh lebih tenang.
Menurut pemain Perancis ini, walaupun ibunya mengamalkan ajaran Islam, dia bagaimanapun tidak dibesarkan sebagai seorang Muslim.
Namun begitu, setelah berdepan dengan pelbagai rintangan dalam hidup, Pogba mula mendalami ajaran Islam. Di samping melakukan kajian tentang Islam, dia juga banyak menanyakan soal ini kepada rakan-rakannya yang bergelar Muslim.
View this post on InstagramNever forget the important things in life 🕋🤲🏾❤️
A post shared by Paul Labile Pogba (@paulpogba) on
“Ia adalah segalanya. Itu yang membuatkan saya berterima kasih dan bersyukur untuk semua,” kata Pogba yang mengerjakan ibadah umrah di Makkah pada bulan Ramadan lalu.
“Bergelar seorang Muslim secara tidak langsung telah mengubah kehidupan saya menjadikan dalaman saya lebih tenang,” jelasnya.
“Ia merupakan satu perubahan yang baik dalam hidup saya kerana saya tidak dilahirkan sebagai Muslim, walaupun ibu begitu (Islam). Saya hanya membesar begitu, menghormati semua orang.”
“Islam bukan gambaran yang semua orang lihat iaitu sebagai pengganas. Apa yang kita dengar di media adalah sesuatu yang berbeza. Islam adalah sesuatu yang indah.”
“Anda perlu tahu itu. Semua orang boleh cari satu perasaan yang berhubung dengan Islam,” ujarnya ketika ditemu bual oleh The Times.
Pada tahun 2016 dan 2017, pemain yang dikaitkan dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid musim depan ini pernah berkunjung ke Makkah bersama dengan Romelu Lukaku.
“Ia hadir (bergelar Muslim) kerana saya mempunyai ramai kawan-kawan Muslim. Kami sentiasa berbincang mengenainya.”
“Saya pernah solat sekali dengan kawan-kawan dan timbul rasa berbeza. Saya rasa sangat baik.”
“Sejak hari itu, saya teruskan sahaja. Anda perlu sembahyang lima kali sehari, itu antara salah satu kewajiban dalam Islam. Ia merupakan tiang agama.”
“Islam itu agama yang mudah,” tambahnya lagi.