Pocong ‘Jaga’ Dusun Durian

Sewaktu musim durian ini, terdapat permintaan tinggi daripada orang ramai untuk mendapatkan raja segala buah itu.

Disebabkan itu, wujud situasi di mana berlaku kes kecurian untuk mengaut keuntungan dengan mudah.

Pemilik dusun durian di Kampung Tengah, di Segamat ini menggunakan unsur menyeramkan dengan meletakkan ‘pocong’ bagi mengatasi kecurian hasil tanaman di dusun duriannya.

Pemilik dusun durian yang juga pengusaha buahan terbabit, Rosman Budiman berkata beliau membeli dua meter kain putih tiga minggu lalu untuk dibentuk sebagai lembaga putih.

Ia kemudian diletakkan di kebun duriannya untuk menakutkan pencuri.

Difahamkan, dua ‘pocong’ dewasa yang dibentuk dari kotak kertas setinggi 1.5 meter dan seberat 450 gram disaluti kain putih itu berjaya mengurangkan kehilangan buahan membabitkan 10 pokok durian pada musim ini.

“Sebelum ini, jika lambat memungut buah, pencuri akan melarikannya,” katanya ketika ditemui di dusunnya, di Kampung Tengah, hari ini.

Menurut lelaki yang berusia 61 tahun itu, kain putih itu diletakkan di dalam semak-samun dan pondok kosong sekitar dusun. Ia sudah memadai untuk menakutkan penceroboh itu terutamanya di malam hari.

“Saya turut membakar gaharu bagi menimbulkan suasana menyeramkan sebelum pulang ke rumah setiap petang.

Ada kalanya saya sendiri turut seram sejuk akibat bau gaharu jika datang berseorangan untuk mengutip durian.

Kos penyediaan kesemua bahan berkenaan termasuk gaharu, hanya RM8 sahaja,” katanya.

Sebelum ini, beliau meletakkan patung harimau dalam usaha menakutkan pencuri durian.

Bagaimanapun, langkah itu tidak berkesan.

“Malah, dua patung harimau yang setiap satu dibeli dengan harga RM350 itu turut dilarikan pencuri durian ,”katanya.

Difahamkan, dia terpaksa mencari idea berlainan setiap kali musim durian.

Jika pencuri hanya mahu makan durian, saya boleh halalkan. Tapi kehilangan dalam jumlah yang banyak membuktikan ia dicuri untuk dijual,” katanya.

Untuk membaca artikel lain yang hampir sama seperti ini, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca