PLUS Tidak Akan Dijual, Kadar Tol Akan Diturunkan 18 Peratus

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ini berkata  kerajaan tidak akan menjual konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS). Ini bermakna, PLUS akan kekal menjadi milik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu dibuat sebulat suara selepas kerajaan meneliti semua bidaan yang dibuat oleh pihak swasta terhadap Khazanah.

Media sebelum ini melaporkan lima pembida mengemukakan tawaran rasmi mengambil alih PLUS, iaitu RRJ Capital, Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd dan ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad, serta Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd (KKPBP).

Tambah Perdana Menteri lagi, kadar tol di semua lebuh raya kendalian PLUS akan dikurangkan sebanyak 18 peratus pada tahun ini, dan rakyat bakal meraih manfaat daripada keputusan mengurangkan kadar tol ini sekiranya ia kekal selama tempoh 30 tahun akan datang. 

PLUS adalah cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah. UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh KWSP.

Antara lebuh raya utama kendalian PLUS adalah Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA) dan juga Jambatan Pulau Pinang.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Perdana Menteri Malaysia, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca