PKPB: Malaysia Belum ‘Merdeka’ Dan Belum ‘Raya’

Selama 47 hari rakyat Malaysia terkurung dan kekal di rumah, hari ini merupakan hari pertama Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19 dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Antara perkara yang dilonggarkan ialah, banyak pusat beli belah sudah boleh beroperasi. Restoran ‘Mamak’ juga sudah boleh dikunjungi dan orang ramai boleh menjamu selera di premis-premis kedai makan, manakala kenderaan persendirian kini boleh dinaiki empat orang.

Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa PKP ini hanyalah dilonggarkan dan tarikh berakhirnya perintah ini yang kini masuk fasa keempat adalah pada 12 Mei ini.

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya semalam menegaskan persepsi yang menganggap kerajaan sudah tamatkan PKP dan hari ini kita ‘raya’ merupakan satu tanggapan yang tidak betul. Katanya, sekarang terserah kepada disiplin dan kepatuhan orang ramai terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) perintah berkenaan bagi membantu menurunkan statistik COVID-19 seterusnya menjadikan kes positif sifar.

Dalam keterujaan meraikan kebebasan ini, perlu diingat bahawa kes positif baharu COVID-19 kembali mencecah angka tiga digit dua hari berturut sejak dua hari lepas. Sebelum ini, 16 hari kita berjaya merekodkan angka dua digit.

Semalam sahaja telah mencatatkan sebanyak 122 kes positif COVID-19, meningkat dari hari sebelumnya iaitu sebanyak 105 kes.

Walaupun statistik bertambah, keputusan melonggarkan PKP kepada PKPB yang diumum oleh Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas masih kekal dan hanya kawasan yang mencatatkan kenaikan mendadak kes COVID-19 akan ditutup selepas ini.

Bagi memastikan kepatuhan rakyat secara keseluruhan terhadap PKPB, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya semalam, beliau mahu orang ramai memainkan peranan masing-masing dalam membuat laporan polis jika terdapat mana-mana pihak yang melanggar SOP yang telah ditetapkan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai memuat turun aplikasi MyTrace yang dibangunkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang boleh digunakan bagi membantu kerajaan mengesan jejak mereka yang telah dijangkiti wabak COVID-19 berhampiran mereka dan mungkin juga kontak rapat mereka.

Diharapkan rakyat Malaysia sedar bahawa kita masih belum menang dalam peperangan wabak ini. Jangan jadikan keterujaan sementara kita dalam meraikan sedikit kebebasan ini sebagai satu kerugian kepada usaha kita berkurung selama 47 hari sebelum ini.

Untuk baca artikel lain berkenaan PKPB, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca