PKPB Dilanjutkan Sehingga 9 Jun, Kerajaan Pastikan Usaha Perangi COVID-19 Lebih Berkesan

Kerajaan membuat keputusan untuk melanjutkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu, iaitu sehingga 9 Jun, 2020.

Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas hari ini berkata, keputusan itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN). Perkara ini kerana usaha memerangi COVID-19 masih lagi belum berjaya sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata lagi, dari segi pandangan umum, beliau mendapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang tepat dan wajar dalam usaha memerangi wabak ini.

“Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020.

“Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, Tan Sri Muhyiddin berkata, beliau ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban dan menyumbang segala keringat sepanjang tempoh negara menghadapi cabaran ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat daripada wabak COVID 19.

Selain itu, beliau juga mengucapkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan PKP dan PKPB dan sekali gus memudahkan para petugas barisan hadapan menangani krisis ini.

“Hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan, kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau,” kata beliau.

Diharapkan rakyat terus patuh dan akur terhadap keputusan yang telah dibuat ini. Segala arahan yang dikeluarkan dan diumumkan telah dilakukan berdasarkan apa yang terbaik untuk kita semua. Jadi kita perlu biasakan kehidupan normal baharu supaya penularan wabak ini dapat dibendung dengan segera.

Untuk baca artikel lain berkenaan PKPB, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca