PKP: Pak Salleh Boleh Buka Semula Restoran Dengan Mematuhi SOP Yang Ditetapkan

Menerusi perutusan khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menggunakan analogi Pak Salleh dan operasi restorannya bagi menerangkan secara mudah kebenaran untuk sektor perniagaan tertentu beroperasi sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, mulai Isnin ini.

Pak Salleh, pengusaha restoran mi kolok di Kuching, Sarawak, adalah contoh diberikan Perdana Menteri ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) Perusahaaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan pada 6 April lalu.

“Mulai 4 Mei, iaitu Isnin ini, seperti saya katakan dulu, Pak Salleh boleh buka semula restoran, dan sehari dua ini boleh bersihkan restoran, bersihkan pinggan mangkuk, sudu periuk dan alat memasak, susun meja dan kerusi serta beli stok barang mentah.

“Keduanya, Pak Salleh kena memastikan jarak dua meter antara satu meja dengan yang lain. Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ,” katanya.

Untuk penjarakkan sosial, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan, Pak Salleh boleh meletakkan notis mengehadkan hanya seorang atau dua dan tiga orang untuk satu meja, bergantung kepada saiz meja.

“Meja kecil untuk satu atau dua orang sahaja dan meja besar tiga atau empat orang, Pak Salleh boleh tentukan. Buat garisan depan kaunter dan ukur satu meter untuk seorang pelangan dengan jarak satu meter di depan dan belakang bagi memudahkan pelanggan beratur ketika buat bayaran.

“Sediakan hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) untuk bersihkan tangan, sediakan sabun di tempat basuh tangan. Sediakan penyembur pembersih meja mencukupi dan minta pekerja segera bersihkan meja cepat-cepat.

“Beli face mask (topeng muka) dan beri kepada pekerja serta pastikan mereka pakai setiap masa. Pada hari pertama pembukaan restoran, periksa suhu badan pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke restoran dan gunakan pengimbas suhu badan yang sesuai,” jelasnya.

Menurutnya lagi, nama dan nombor telefon pelanggan perlu dicatat bersama tarikh dan masa mereka datang ke restoran kerana ia penting jika ada kes positif COVID-19 dikesan. Hal ini juga penting kerana jika ada kes positif COVID-19 yang melibatkan seorang pelanggan, pelanggan-pelanggan lain yang datang pada hari itu boleh segera dikesan. 

“Jadi, sebenarnya banyak kerja yang Pak Salleh kena buat sebelum boleh buka semula restoran. Semua ini penting untuk pastikan supaya tiada pelanggan Pak Salleh yang terkena jangkitan COVID-19. Pemilik restoran, ‘food truck’ dan gerai makan yang lain pun mesti buat perkara yang sama.

“Kalau semua dah buat begini, pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau beli makanan dengan rasa selamat. Jika masih was-was, bungkus sajalah. Tak perlu makan di restoran. Ini mungkin lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca