Petrol Habis di Beberapa Stesen Minyak, Ratusan Kereta Terkandas

Kira-kira 200 buah kenderaan terkandas akibat bekalan minyak di sebuah stesen minyak di Kampung Saujana di sini kehabisan pada Jumaat lalu.

Beberapa pengguna jalan raya berkongsi di Twitter berkenaan pengalaman mereka berdepan kekurangan petrol di stesen minyak.

Ada stesen yang mengenakan had bagi pembelian minyak RON95 manakala di sesetengah stesen lain, hanya minyak RON97 yang masih ada.

“Minyak habis di stesen pertama. Di stesen kedua, pekerja hanya benarkan isi maksimum RM30. Banyak stesen sudah kehabisan minyak,” menurut salah seorang pengguna Twitter.

Menurut pengguna, Azuddin Yusoff, dia memulakan perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke pahang sebelum terkandas di stesen minyak berkenaan sekitar jam 6 petang Jumaat lalu. Katanya sehingga jam 11 malam, dia bersama pengguna yang lain masih terkandas selepas kehabisan bekalan bahan api tersebut.

Seorang lagi pengguna turut berkongsi yang lori tangki minyak juga tersekat dalam kesesakan jalan raya.

Sementara itu penyelia stesen minyak berkenaan Hafikir Zaki memohon maaf di atas kesulitan yang dialami para pengguna.

“Saya minta maaf atas kesesakan yang berlaku, kesusahan yang dialami pelanggan disebabkan bekalan minyak terputus.

“Lori yang menghantar minyak telah datang tapi kerana kesesakan yang berlaku, kenderaan yang bergerak perlahan, sepatutnya sampai lebih awal tetapi oleh kerana ada terlalu banyak kereta, ia menyebabkan lori tergendala untuk sampai pada waktu yang dianggarkan,” katanya.

Difahamkan sekitar jam 12 malam tadi lori yang membawa bekalan minyak berkenaan baru tiba di stesen minyak Kampung Saujana.

Sementara itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata penggunaan di luar jangkaan berikutan sambutan perayaan Aidilfitri menyebabkan bekalan di sesetengah stesen minyak kehabisan bekalan dan perlu menunggu stok baharu tiba.

Tambah beliau, pihaknya juga sentiasa dimaklumkan oleh syarikat minyak dan juga pemilik stesen minyak tentang status semasa bekalan serta tindakan proaktif mereka bagi memastikan keberadaan bahan bakar ini di pasaran.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca