KONGSIKAN

 

 

 

“Pesawat itu disahkan telah terhempas,” jurucakap SAR Indonesia, Yusuf Latif, dipetik oleh portal berita Reuters,

 

Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan pesawat tambang murah Lion air  terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara pada pagi Isnin. Pesawat Lion Air  JT 610 dilaporkan berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta, Jakarta, Indonesia pada pukul 6.20 pagi waktu tempatan dan terputus hubungan dengan pihak kawalan trafik udara jam 6.33 pagi, ia dijadualkan tiba di Pangkal pinang pada jam 7.20 pagi (waktu Indonesia).

 

Setakat jam 2 pagi Selasa waktu tempatan, sebanyak 24 beg berisi jenazah penumpang pesawat Lion Air JT 610 telah dibawa keluar dari lokasi kejadian. Kesemua mangsa daripada pesawat yang terhempas di perairan Tanjung Karawang itu dihantar ke Hospital Polis Republik Indonesia di Tanjung Priok. Menurut Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), pihaknya percaya kebanyakan mangsa tidak timbul kerana terikat pada kerusi pesawat.

 

Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia, masih meneruskan usaha pencarian mangsa nahas dan segera mencari bangkai pesawat malang itu. Setakat ini kumpulan penyelamat telah menemui serpihan ekor pesawat yang terapung termasuk kad pengenalan, telefon bimbit, serta barangan mangsa telah ditemui. Turut membantu dalam operasi ini adalah Tentera Nasional Indonesia (TNI).

 

Penerbangan JT 610 itu membawa 178 penumpang dewasa, satu kanak-kanak dan dua bayi. Antara yang menaiki pesawat berkenaan adalah empat orang hakim serta pegawai Kementerian Kewangan. Pesawat dikendalikan kapten Bhavye Suneja dan pembantu juruterbang Harvino bersama enam kru kabin, Shintia Melina, Citra Noivita Anggelia, Alviani Hidayatul Solikha, Damayanti Simarmata, Mery Yulianda dan Deny Maula.

 

Kementerian Luar Malaysia turut mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas pesawat Lion Air JT-610 yang dilaporkan terhempas di perairan Karawang, utara Pulau Jawa, Indonesia.

 

Diharapkan operasi mencari dan menyelamat mangsa korban berjalan dengan baik dan dipermudahkan. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mangsa korban pesawat Lion Air, moga mereka diberi kekuatan atas kehilangan ini.

 

 

Sumber: Astro Awani