Pesawat Hawk TUDM Terhempas, Seorang Juruterbang Terkorban

Sebuah pesawat Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pangkalan Udara Butterworth semalam.

Dua juruterbang yang terlibat dalam kemalangan ini dikenali sebagai Kapt Mohamad Affendi Bustamy dan Mejar Mohd Fareez Omar.

Pihak TUDM memaklumkan kejadian ini berlaku sekitar 10.07 malam ketika mereka melakukan latihan penerbangan malam.

Memetik laporan Astro AWANI, Mohamad Affendi telah meninggal dunia serta urusan jenazah sedang diuruskan untuk tindakan lanjut.

Manakala Mohd Fareez yang cedera berada dalam keadaan selamat dan stabil. Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Berdasarkan kenyataan media daripada pihak TUDM berkaitan perkembangan semasa insiden ini, kedua-dua ahli keluarga juruterbang berkenaan telah dimaklumkan. Pihak mereka akan memastikan urusan kebajikan keluarga diutamakan.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga ada menghantar ciapan berita ini melalui akaun Twitternya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi yang cedera. Amat sedih dan dukacita terima berita ini.

“Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera. @MINDEFMalaysia telah diarah untuk salur apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat,” katanya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca