Sebentar tadi Perdana Menteri Malaysia kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat satu perutusan khas mengenai wabak Koronavirus baharu (COVID-19) yang kini semakin membimbangkan.
Sehingga kini, wabak COVID-19 terbabit sudah merebak ke 135 buah negara. Seramai 162, 711 orang telah disahkan positif wabak ini dan 6,443 yang lain sudah meninggal dunia.

Di Malaysia, kes COVID-19 menunjukkan kadar peningkatan yang mendadak dimana 190 kes sudah dilaporkan semalam dan disusuli dengan 125 jangkitan yang baharu.
Hal ini menjadikan keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 511 individu kini sedang dirawat di hospital manakala 42 daripadanya telah disahkan pulih.

Kerajaan Malaysia memandang serius situasi semasa ancaman wabak berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua. Keutamaan kini adalah untuk mencegah penularan baharu.
Justeru, kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. Keputusan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi enam perkara berikut.
1. Pertama
Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.
2. Kedua
sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari.
3. Ketiga
Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
4. Keempat
Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti
5. Kelima
Penutupan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.
6. Keenam
Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin lagi, beliau menyedari bahawa perintah kawalan ini akan menimbulkan kesulitan dan kesukaran kepada rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan seharian. Namun begitu, langkah ini wajar diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.
Menerusi perutusan sama juga, perdana menteri memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi.

Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga akan sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalah Pergerakan ini berkuatkuasa.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.
Pihak Lejen Press Digital mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia dilindungi daripada wabak ini. Sila jaga diri anda dan patuhi arahan kerajaan demi memastikan COVID-19 berjaya dibendung.
Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, sila klik pada pautan di bawah: