Pertolongan Bertukar Menjadi Mimpi Ngeri, Gadis Ini Diraba Lelaki Yang Tawar Bantuan Tukar Tayar Pancit

Seorang gadis yang pada mulanya bersyukur apabila seorang lelaki menawarkan bantuan untuk menukar tayar keretanya yang pancit kini trauma gara-gara ‘pertolongan’ tadi bertukar menjadi mimpi ngeri.

Tidak semena-mena, gadis malang tersebut telah menjadi mangsa cabul syaitan bertopengkan manusia itu dalam insiden yang berlaku di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada Selasa jam 7 pagi.

Sewaktu kejadian, Maisarah (bukan nama sebenar) sedang menuju ke Glenmarie, Shah Alam dari kediamannya yang terletak di Rawang untuk memulakan kerja di hari pertamanya.

Walau bagaimanapun, kereta yang dipandunya terpaksa diberhentikan di bahu jalan kerana tayar kenderaan itu telah pancit.

Setelah beberapa ketika, seorang lelaki yang berusia lingkungan 30-an memberhentikan motosikalnya dan menawarkan untuk membantu menukar tayar kereta Maisarah.

Tanpa ragu-ragu, Maisarah menerima pelawaan lelaki itu memandangkan air mukanya jelas terpancar bahawa niatnya ikhlas untuk membantu.

Namun begitu, keikhlasan itu ternyata tidak bertahan lama apabila dia mula menunjukkan ‘wajah’ yang sebenar.

“Ketika berusaha menukar tayar, terdapat satu skru yang sukar dibuka. Lelaki itu menyuruh saya menghubungi pasukan peronda dan ketika menunggu bantuan, dia minta tumpang duduk dalam kereta kerana cuaca panas di luar.”

“Saya benarkan (dia duduk dalam kereta) dan saya mahu berdiri di luar, namun tiba-tiba lelaki itu tarik tangan saya masuk dalam kereta dan kunci pintu,” kata Maisarah.

Menurut gadis berusia 20 tahun itu, meskipun ketika itu dia sangat cemas dan ketakutan, namun dia memilih untuk tidak menunjukkannya kerana bimbang lelaki berkenaan akan bertindak lebih ganas.

“Saya pura-pura ‘cool’ dan sibuk dengan telefon tetapi tangan lelaki itu merayap di paha, saya tepis, namun tidak dapat melawan. Syukur tidak lama kemudian pasukan peronda tiba,” katanya.

Maisarah juga cuba untuk memaklumkan kejadian itu kepada petugas peronda lebuh raya, namun lelaki tersebut menghalangnya daripada berbuat demikian.

Mimpi ngeri Maisarah tidak terhenti di situ sahaja apabila lelaki tersebut enggan beredar meskipun petugas peronda sudah selesai dengan kerja mereka.

“Saya segera masuk dalam kereta tetapi lelaki itu masuk sekali, dia bertindak lebih ganas dengan menarik lengan saya dan cuba mencium saya malah membuka butang baju kemeja saya di bahagian atas.”

“Ketika itu, dalam keadaan yang meronta-ronta saya menjerit sekuat hati menyuruh dia keluar.”

“Apabila saya jerit begitu, lelaki itu terus berhenti tetapi minta dicium jika mahu dia keluar, saya bertambah marah dan sekali lagi menjerit ke arahnya sebelum dia keluar,” cerita Maisarah lagi.

Sebelum beredar dari lokasi itu, Maisarah sempat melemparkan jeritan kepada lelaki berkenaan dengan mempersoalkan keikhlasannya untuk menolong menukar tayar kenderaannya.

“Saya jerit cakap ingatkan ikhlas nak tolong tukar tayar, kalau ikhlas kenapa nak kena raba-raba? Lelaki itu membalas ‘Yalah, sayakan lelaki’,” katanya lagi.

Tanpa membuang masa, Maisarah kemudiannya bergegas ke Balai Polis Sungai Buloh untuk membuat laporan mengenai detik cemas yang dialaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut, lapor Astro Awani.

“Polis sedang memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca