Pertemuan Bertukar Menjadi Episod Hitam, Gadis OKU Ini Dirogol 4 Orang Lelaki Secara Bergilir-Gilir

Kejam dan tidak berhati perut! Itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan empat remaja ini yang bertindak merogol seorang gadis orang kurang upaya (OKU) secara bergilir-gilir di dalam sebuah pondok. Kejadian ini dipercayai berlaku di Semporna, Sabah pada Isnin.

Memetik laporan Harian Metro, perbuatan keji lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun itu akhirnya terbongkar selepas mangsa memaklumkan kejadian tersebut kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Semporna iaitu Superintendan Sabarudin Rahmat, siasatan awal mendapati bahawa seorang daripada suspek telah membuat panggilan video dengan mangsa sebelum kejadian berlaku.

Suspek kemudiannya dikatakan mengajak mangsa yang berusia 18 tahun itu untuk berjumpa di sebuah pondok yang terletak sekitar 15 meter dari rumah mangsa.

Selepas berulang kali dipujuk, mangsa yang bisu dan cacat pendengaran itu akhirnya bersetuju untuk bertemu suspek yang juga merupakan jiran kepada mangsa sebelum episod tragis itu berlaku.

“Bapa mangsa bagaimanapun hanya menyedari anak gadisnya itu tiada di dalam biliknya kira-kira jam 2 pagi,” kata Sabarudin menerusi satu kenyataan.

“Dia kemudiannya bertindak keluar mencari anaknya sebelum menemuinya berhampiran rumah ibu mentuanya tidak jauh dari rumah mereka,” katanya lagi.

Difahamkan, mangsa yang cuma boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat itu memaklumkan kejadian yang menimpanya kepada si bapa sebelum membuat laporan polis pada hari yang sama.

Kesemua suspek akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap pihak polis.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merogol,” jelasnya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca