Pertemuan Bersejarah Perdana Menteri Dan Pemimpin Pembangkang, Suhu Politik Negara Diredakan

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan para pemimpin utama Pakatan Harapan mengadakan pertemuan khas di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, petang tadi.

Dalam pertemuan yang dihadiri oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (DAP), Lim Guan Eng, Perdana Menteri dan tiga pemimpin pembangkang berkenaan mencapai persetujuan untuk menumpukan kepada agenda kepentingan rakyat bagi menangani krisis COVID-19 serta memperkasa fungsi Parlimen.

Sumber: Facebook Ismail Sabri Yaakob

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pertemuan tersebut adalah bagi menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bagi meredakan suhu politik negara pada ketika ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau dan para pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 minggu lalu, selepas beliau memperolehi sokongan majoriti mudah 114 Ahli Parlimen.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca