Pertama Kali Dirakam, Kura-Kura Memburu Anak Burung

Satu video telah merakam buat pertama kali lagak seekor kura-kura memburu dan membunuh serta memakan seekor anak burung.

Kebiasaan tanggapan terhadap kura-kura ialah mereka tidak berbahaya dan sudah semestinya mereka tidak memburu. Hal ini kerana haiwan herbivor ini kebiasaannya menghabiskan masa setiap hari memakan dedaun hijau.

Jadi amat pelik buat Justin Gerlach, seorang ahli biologi di Universiti Cambridge, apabila rakannya datang melaporkan hal ini kepada beliau. Beliau menyangka mesti ada kesilapan dalam laporan tersebut.

Akan tetapi bukti daripada video hasil rakaman Anna Zora itu tidak dapat dinafikan.

Seekor kura-kura gergasi betina mengintai anak burung yang telah jatuh dari sarangnya di Pulau Frégate di Seychelles, sebuah pulau di luar pantai Afrika Timur, pada petang Julai 2020.

Kura-kura itu mengejar anak burung itu menuruni sebatang kayu balak dengan gigih, seperti lanun memaksa mangsanya berjalan di atas papan. Ini dilakukan sehinggalah burung itu tidak lagi mempunyai tempat untuk pergi.

Rahang kura-kura yang menguap menangkap burung itu lalu menghancurkan kepalanya selepas beberapa kali menerjang dengan perlahan. Pada akhirnya dia menelan kepala mangsanya sepenuhnya.

Penyelidik menulis dalam Current Biology pada 23 Ogos bahawa ini adalah kes pemburuan kura-kura yang pertama didokumenkan.

Hal ini amat mengejutkan buat Gerlach. Beliau berkata bahawa melihat video tersebut membuatkan beliau berasa teruja dan agak takut pada masa yang sama.

Menurut Gerlach, banyak herbivor akan memakan bangkai sebagai sumber protein apabila ada peluang. Namun beliau tidak pasti sama ada ini adalah tindakan yang dirancang atau tidak.  

Majoriti mangsa boleh berlari lebih cepat daripada kura-kura, menjadikan pemburuan mustahil untuk haiwan tersebut. Anak burung yang menjadi mangsa ini, sebaliknya, terbukti mudah dipetik.

Burung itu boleh melarikan diri dengan mudah dengan berjalan kaki walaupun terlalu tidak matang untuk terbang, menurut Gerlach.

“Namun, kerana ia adalah burung yang bersarang di pokok, tanah adalah persekitaran yang berbahaya.”

Beliau percaya bahawa apabila jatuh di atas kayu itu, anak burung tersebut hanya mematuhi apa yang diketahuinya yakni membuatkan dirinya naif pada serangan kura-kura.

Gerlach juga percaya bahawa kura-kura ini pernah memburu sebelum ini, kerana pergerakannya menunjukkan bahawa ia telah biasa memburu. Dia ingin mengkaji sama ada tingkah laku memburu seperti itu adalah perkara biasa.

Orang biasanya berpendapat bahawa kura-kura tidak mempunyai tabiat-tabiat yang menarik selain daripada yang kita sudah tahu. Akan tetapi, video ini menunjukkan bahawa ada lagi rupanya yang kita tidak tahu mengenai haiwan ini.

Apa lagi agaknya yang mereka sembunyikan daripada kita?

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca