Persis Pulau Di Luar Negara, Ini 3 Pulau Yang Wajib Anda Kunjungi Di Johor

Bagi sesetengah pelancong yang datang ke Johor, pastinya rugi jika tidak menjejakkan kaki ke beberapa pulau yang terdapat di sana terutamanya di kawasan Mersing. Walaupun kurang dikenali tetapi keindahannya tidak dapat disangkal lagi. Berikut kami kongsikan beberapa pulau yang wajib anda kunjungi di Johor:

1. Pulau Aur

Bagi penduduk asal yang tinggal di daerah Mersing, semestinya pulau ini menjadi sebahagian daripada kebanggaan mereka, apatah lagi penduduk asal pulau ini sendiri. Kejernihan air pantai di pulau ini menjadi faktor utama para pelancong berkunjung ke sini.

Para peminat skuba tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk mencuba melakukan aktiviti menyelam di pulau ini kerana airnya yang cukup jernih pastinya memukau mata yang memandang. Terdapat pelbagai jenis kehidupan marin yang boleh dilihat dengan jelas. Pulau ini juga adalah salah satu daripada tapak penyemaian kerang gergasi atau disebut sebagai ‘giant cockle’.

2. Pulau Pemanggil

Pulau ini terletak kira-kira 45 kilometer di utara Mersing dan berdekatan dengan Pulau Tioman. Antara keunikan pulau ini bukan sahaja airnya yang jernih dan pantainya yang cantik, tetapi kisah asal usul nama pulau ini sendiri.

Dikatakan dahulu terdapat sebuah keluarga yang berlayar berhampiran pulau ini dan pada malam hari, seorang daripada mereka mendapat mimpi. Di dalam mimpi itu, beliau seolah-olah mendengar suara yang memanggilnya untuk pergi ke pulau itu dan menetap di sana. Oleh sebab itulah pulau ini dipanggil sebagai Pulau Pemanggil.

3. Pulau Besar

Pulau Besar dahulunya lebih dikenali sebagai Pulau Babi Besar kerana pada suatu ketika dahulu, terdapat banyak babi yang berkeliaran di sini tetapi kini tidak lagi dan telah menjadi kawasan pelancongan yang selamat untuk dikunjungi.

Untuk berkunjung ke sini, para pelancong harus menaiki bot dari jeti Mersing dan ia hanya mengambil masa kurang setengah jam sahaja untuk sampai ke sini. Bagi mereka yang pernah ke sini, pastinya mereka tidak akan berasa kesal.

Penulis

  • Muhamad Fahmi Asyraf Zamri adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca