Persenda Seorang Gadis Kerana Ada Misai, Lelaki Ini Tergamak Minta RM10 Untuk Padam Tweet ‘Body Shaming’

Jika kelmarin kita dihujani dengan isu body shaming yang berlaku kepada seorang pemuda bernama Azfar, kini warganet kembali digemparkan dengan keadaan fizikal seorang gadis yang dipersendakan hanya kerana misai.

Gadis berusia 20 tahun ini begitu kecewa sebaik sahaja dipersendakan sebegitu rupa. Menerusi perkongsian posting di laman Twitternya, dia yang lebih mesra dikenali sebagai Amira meluahkan rasa sedihnya apabila keadaan fizikal dirinya diperkotak-katikkan oleh seorang pemuda bernama Mohd Amrin.

Namun begitu, lelaki berkenaan tidak kelihatan takut atau gusar setelah menerima kecaman daripada warganet akibat komen yang dilontarkan. Malah, pemuda ini sempat meninggalkan respons yang berbaur ugutan. Posting yang dimuat naik oleh gadis tersebut mendapat perhatian ramai sehingga meraih 4,600 ulang kicau dan 4,900 tanda suka.

Niat gadis jelita ini pada awalnya hanyalah ingin berkongsi beberapa foto yang dirakamkan sebagai kenangan. Walau bagaimanapun, pemuda berkenaan telah memberi komen yang berbaur sindiran sehingga mampu membuatkan empunya badan bersedih dan kecewa.

Menurut laporan mStar, kejadian ini telah membuat gadis berkenaan sedih dan hilang keyakinan diri. Kini, Amira bagaikan tiada semangat. Malahan, insiden yang berlaku itu secara tidak langsung menyebabkan gadis ini terkenang kembali akan pengalaman pahit yang dilalui sebelum ini.

Ini kerana, Amira mendakwa bahawa dirinya sering diejek oleh rakan sekolahnya kerana mempunyai misai. Bahkan, lebih menyedihkan apabila dia pernah ditegur dengan ayat yang berbaur negatif oleh rakan lelaki dari kelas sebelahnya.

Ungkapan tersebut semestinya terpahat dalam minda gadis ini. Dia menjelaskan bahawa teguran yang diterimanya berbunyi seperti “Eh, banyak bulu kat tangan. Memang syok ni.” Akibat daripada peristiwa itu, gadis ini terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai sarung tangan setiap kali ke sekolah.

Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa kini telah memperkenalkan satu akta baharu bagi membanteras gejala buli siber di bawah Seksyen 233 (1)(b), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Maka, beringatlah kepada semua masyarakat agar tidak mudah menjadi manusia yang sering mempersendakan kelemahan seseorang. Kerana setiap kelemahan itu juga merupakan anugerah dari Illahi.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca