Perogol Bersiri Ini Ikat Ibu Dan Paksa Wanita Itu Dengar Jeritan 2 Orang Anaknya Diperkosa

Seorang lelaki yang disyaki merupakan perogol berisiri tergamak mengikat seorang wanita bergelar ibu menggunakan kabel elektrik sebelum memaksa mangsa mendengar jeritan dua anaknya sewaktu dia merogol mereka.

Menurut laporan Harian Metro, lelaki yang dikenali sebagai Joseph McCann itu mengganas sebagai perogol selama dua minggu iaitu antara 20 April dan 5 Mei lepas di sekitar kawasan London, Manchester, Lancashire dan Cheshire.

Daily Mail melaporkan bahawa serangan membabitkan wanita dan dua anaknya itu berlaku pada 5 Mei lepas iaitu selepas perkenalannya dengan seorang wanita di sebuah bar yang bertempat di Haslingden, Greater Manchester.

Syaitan bertopengkan manusia itu kemudiannya mengambil kesempatan sewaktu menghantar wanita tersebut pulang ke rumah. Dia bertindak mengikat wanita itu sebelum mengejutkan anak perempuan mangsa berusia 17 tahun dan anak lelakinya yang berumur 11 tahun.

McCann kemudiannya memaksa wanita berkenaan melihat dia merogol mereka tanpa sebarang belas kasihan dan mendengar jeritan mangsa.

Episod tragedi tersebut akhirnya menemui titik noktah selepas tiga beranak itu diselamatkan selepas remaja perempuan berkenaan terjun menerusi tingkap dalam keadaan bogel dan menghubungi pihak polis dengan bantuan jiran.

Beberapa jam selepas itu, lelaki tersebut kemudiannya menahan wanita berusia 71 tahun bersama dengan budak perempuan berusia 13 tahun sebelum bertindak merogol mereka.

Pada hari kedua perbicaraannya yang berlangsung semalam, pendakwa menceritakan segala yang berlaku sehinggalah tertuduh ditahan pada 6 Mei lalu sewaktu dia sedang bersembunyi di atas pokok.

Juri turut mendengar bagaimana mangsa pertama tertuduh iaitu seorang gadis berusia 21 tahun yang diculik sewaktu berjalan pulang dari kelab malam di Watford pada awal pagi 21 April. McCann didakwa merogol mangsa sambil mengacukan pisau kepadanya.

Mangsa ketiga yang berusia 13 tahun pula diculik pada siang hari iaitu empat hari selepas tragedi sama menimpa mangsa pertama. Dia diculik di barat laut London dan dimasukkan ke dalam kereta yang dinaiki seorang lagi wanita berusia 25 tahun.

Kedua-dua wanita itu dikatakan dirogol berulang kali sebelum mereka berjaya meloloskan diri selepas memukul kepala tertuduh dengan menggunakan botol vodka.

McCann dari Harrow, utara London itu dengan angkuhnya memberitahu polis bahawa kejadian lain tidak akan berlaku sekiranya pihak berkuasa berjaya memberkasnya selepas dua kes pertama.

Artikel Lain Untuk Di Baca