Pernah Terfikir Mahu ‘Berehat’ Selamanya, Bapa Ini Sanggup Gadai Organ Demi Anak

Kasih seorang ayah itu membawa ke syurga. Itulah apa yang ditunjukkan oleh seorang lelaki Syria yang rela menjual buah pinggangnya sendiri bagi meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya.

Menurut laporan media tempatan, Jamal Baroud memilih untuk mengambil tindakan drastik itu selepas buntu bagi mendapatkan khemah untuk menetepkan keluarganya di kem pelarian utara negara itu.

Difahamkan, Jamal yang merupakan bapa kepada lapan orang anak itu mengiklankan dirinya di tepi jalan sambil memegang plakad yang bertulis dia mahu menjual buah pinggangnya.

Sehingga ini, sudah 27 hari keluarga Jamal dilaporkan hilang tempat tinggal susulan perang saudara di Syria yang masih tidak bernokhtah.

Tambah memilukan apabila lapan orang anak kepada lelaki itu masing-masing mempunyai masalah kesihatan termasuk masalah buah pinggang, sawan dan tumbesaran terbantut.

Dek kerana hidup dalam serba kekurangan, Jamal tidak mampu untuk menghantar cahaya matanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan.

Menurut laporan sama, Jamal sebelum ini bekerja sebagai seorang tukang jahit. Walau bagaimanapun, lelaki itu ditahan setelah terlibat dalam menyokong revolusi.

Akibat daripada penahanan itu, lelaki berkenaan diseksa sehingga lehernya patah sekali gus menyebabkan dia tidak mampu lagi untuk bekerja.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jamal, dia mengaku pernah terfikir untuk mengambil nyawanya sendiri dan anak-anaknya kerana tidak sanggup melihat mereka kebuluran dan kesejukan.

“Sudah lebih dua tahun anak saya tidak bersekolah. Selepas menjadi gelandangan, saya merayu kepada pelbagai organisasi namun, tidak mendapat sebarang jawapan,” ujarnya.

“Saya pernah terfikir mahu mengambil nyawa kami semua agar boleh ‘berehat’ daripada semua masalah ini.”

Buat pengetahuan, perang saudara yang berlaku di negara itu sudah terjadi semenjak tahun 2011.

Sehingga kini, peperangan yang berlaku di antara tentera Syria yang disokong Russia dan kumpulan pemberontak yang didukung oleh kuasa asing termasuk Turki, Iran, Qatar, Arab Saudi dan Amerika Syarikat sudah meragut kira-kira 367,000 nyawa dan mengakibatkan hampir separuh rakyat negara itu hilang tempat tinggal.

Untuk membaca artikel lain berkaitan perang, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca