Pernah Menjadi Tunggangan Dewi Durga? Ini 9 Subspesies Harimau

Kucing besar ini merupakan seekor haiwan yang bahaya tetapi ia perlu dilindungi kerana ia berada di ambang kepupusan.

Walaupun begitu, seekor harimau melambangkan keberanian dan kegagahan. Untuk pengetahuan anda, terdapat sembilan subspesies harimau pada mulanya tetapi tiga daripadanya kini sudah pupus. Kami kongsikan sembilan subspesies raja rimba yang ditemui di dunia:

1. Harimau Sumatera

Dilaporkan bahawa kira-kira 400 hingga 500 ekor sahaja yang masih boleh ditemui di kepulauan Sumatera, Indonesia.

Ia mempunyai saiz yang kecil iaitu 2.13 meter untuk harimau betina dan 2.43 meter untuk harimau jantan.

Warna kulitnya lebih hitam berbanding dengan harimau yang lain dan belangnya sangat nipis serta ia turut mempunyai selaput di celah-celah jari untuk membantunya berenang dengan pantas.

2. Harimau Benggala

Turut digelar sebagai Harimau Benggala Diraja, ia merupakan harimau kedua terbesar antara sembilan subspesies yang lain.

Ia mempunyai populasi yang banyak iaitu sebanyak 1,800 ekor.

Rupa fizikal seekor harimau Benggala ialah bulunya oren, belangnya hitam dan dihiasi oleh bintiknya berwarna putih serta mempunyai ekor yang lebih panjang berbanding harimau lain.

Terdapat juga harimau Benggala putih yang berpunca daripada faktor genetik.

Fakta yang paling menarik tentang subspesies ini ialah ia turut muncul dalam mitos negara India sebagai tunggangan Dewi Durga!

3. Harimau Indochina

Keunikan subspesies ini terletak pada jambangnya di pipi. Untuk melindungi dirinya daripada dikesan, subspesies ini menggunakan jalur pada badannya sebagai alat penyamaran.

Corbett yang didapati dalam nama saintifiknya iaitu panthera tigris corbetti berasal daripada nama seorang pemburu terkenal iaitu Jim Corbett.

Selain itu, harimau Indochina memiliki warna oren kemerahan dengan warna putih di bahagian perutnya.

Di samping itu, subspesies ini akan tinggalkan kesan air kecil dan kotoran untuk menandakan perbatasan mereka.

4. Harimau Malaya

Jacksoni dalam nama saintifiknya iaitu panthera tigris jacksoni dinamakan bersempena dengan seorang ahli konservatif harimau iaitu Peter Jackson. Harimau Malaya turut dikenali sebagai Pak Belang dan hanya boleh ditemui di Malaysia.

5. Harimau Siberia

Ia merupakan subspesies yang terbesar di dunia. Seekor harimau Siberia mempunyai berat sebanyak 300 kilogram dan panjangnya pula ialah 3.3 meter.

Subspesies ini dikategorikan sebagai haiwan yang hampir pupus. Selain itu, ia mempunyai bulu yang panjang dan lapisan lemak yang tebal untuk membantunya bertahan sepanjang musim sejuk.

6. Harimau Cina Selatan

Harimau ini ditemui di timur China dan kini berada dalam keadaan yang bahaya. Kira-kira 20 ekor sahaja yang masih hidup menjadikannya salah satu haiwan yang berada di ambang kepupusan.

7. Harimau Bali

Harimau Bali terakhir telah ditembak mati pada tahun 1925 dan ia telah diisytiharkan pupus pada 27 September 1937.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kepupusan harimau Bali adalah kerana tiada langkah pemuliharaan khas untuk menjaga harimau yang dijalankan dengan telus dan gigih.

8. Harimau Jawa

Harimau Jawa telah pupus pada tahun 1980 kerana pemburuan haiwan ini menyebabkan ia kehilangan habitatnya.

9. Harimau Parsi

Turut dikenali sebagai harimau kaspia, ia telah pupus pada tahun 1950-an kerana harimau ini sering diburu oleh manusia pada masa itu untuk dijadikan sebagai latihan atau pertandingan.

Seekor harimau merupakan lambang keberanian negara untuk rakyat Malaysia. Untuk itu, kita perlu melindungi haiwan ini supaya generasi akan datang boleh melihat harimau itu sendiri dan bukannya menerusi buku teks.

Penulis

  • Dovinni Mary Joseph adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca