Pernah Menjadi Tempat Pembuangan Mayat, Ini Kisah Misteri Jalan Gombak Lama

Jalan Gombak Lama. Ya, cukup hanya dengar namanya sahaja pemandu yang memandu di tengah malam akan terfikir dua atau tiga kali untuk memilih jalan itu sebagai pilihan akhir supaya tiba ke destinasi yang dituju.

Selain jalannya yang berselekoh dan sempit seperti menuju ke Bukit Fraser, Jalan Gombak Lama mempunyai misteri yang tersendiri. Cumanya jalan ini selekohnya lebih tajam, jalannya lebih sempit dan lebih sunyi.

Tidak diketahui sejak bila jalan ini mula menghantui pengguna jalan itu, Jalan Gombak Lama terkenal dengan penampakan entiti yang tidak dikenali dan menakutkan serta latar belakangnya yang samar-samar.

Misteri dan tragedi di Jalan Gombak Lama

Antara entiti yang popular kelihatan dan kerap diceritakan rata-rata pengguna jalan itu ialah gadis berbaju biru dan lelaki misteri bertongkat.

Namun, baru-baru ini tular di media sosial berkenaan satu rakaman yang dirakam oleh pekerja towing akan aktiviti menarik naik kereta Perodua Viva yang dilaporkan terbabas ke dalam gaung berdekatan dengan Jalan Gombak Lama, susur naik ke Genting Sempah.

Lelaki berkenaan merakam aktiviti tersebut untuk kegunaan syarikatnya yang menyediakan perkhidmatan itu. Lain pula yang jadi apabila dia terakam kelibat makhluk yang tidak diketahui berada di dalam kereta terbabit.

Berdasarkan video pada minit ke 1.42, kelihatan satu tangan sedang berpaut pada tingkap di bahagian penumpang sebelah kanan sebelum tangan itu membuang sesuatu keluar dari kereta.

“Tiada orang langsung di dalam kereta berkenaan sebab saya turun ke bawah untuk ikat kereta seorang sahaja. Selepas ikat kereta, saya terus rakam sampai ke atas,” kata pekerja terbabit.

Persoalannya, tangan besar itu milik siapa?

Cukup sampai di situ, kita lihat tragedi yang pernah berlaku di Jalan Gombak Lama ini.

15 tahun dahulu, berlaku tanah runtuh di susur ke Genting Highland yang menutupi sebahagian lebuh raya tersebut. Malangnya, terdapat salah seorang mangsa yang tertimbus dan tidak ditemui sehingga kini. Jasadnya terkubur di situ.

Tidak kurang juga, berlaku misteri bau busuk di Lereng Bukit Batu 29 Jalan Gombak Lama ke Genting Sempah empat tahun lalu. Apa yang mengejutkan apabila peserta larian menjumpai mayat seorang wanita dengan kaki terikat dan tertiarap dalam belukar di cerun sedalam 15 meter.

Wanita itu telah meninggal dunia lebih 72 jam semasa ditemui dan dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan ke dalam cerun tersebut. Rahsia dan punca pembunuhan wanita itu kekal misteri sehingga kini.

Kajian paranormal di Balai Polis Gombak

Balai Polis Gombak, benarkah ianya berhantu dan sememangnya bangunan usang itu asalnya ialah balai polis?

Banyak kumpulan paranormal di Malaysia kini sudah menjejakkan kaki ke lokasi tersebut. Ada yang berjaya merakam entiti yang berkeliaran di situ dan ada juga yang pulang dengan kecewa dek gagal merakam sebarang penampakan.

Sebenarnya, balai polis yang dikatakan dibina pada zaman komunis itu bukanlah balai polis! Empunya tanah di mana di atas tanahnya itu terletak balai polis terbabit menceritakan bahawa asalnya bangunan lama itu adalah sebuah rumah pegawai British yang juga merangkap jurutera yang menjaga Empangan Gombak Lama iaitu empangan yang pertama dibina di daerah Gombak.

Dari pandangan mata, ia kelihatan seperti balai polis kerana bangunan tersebut telah dicat dengan warna biru dan putih.

Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang bangunan terbiar ini dan misteri di sebaliknya dengan menonton video di bawah.

Terpulang kepada anda bagaimana anda ingin merungkaikan misteri yang berkurun lama menyelubungi Jalan Gombak Lama ini. Namun, beringatlah setiap kali melalui jalan ini pada waktu malam. Jika ternampak sesuatu yang pelik dan tidak masuk akal, biarkanlah ia terus kekal misteri dan selamanya.

Adakalanya misteri dan rahsia lebih baik dibiarkan tidak terungkai.

Artikel Lain Untuk Di Baca