Pernah Menjadi Rumah Kepada Pembunuh Bersiri, Hotel Cecil Di Los Angeles Terkenal Dengan Kejadian Misteri

Apakah perasaan anda sekiranya anda mendapat tahu bahawa tempat penginapan anda sebenarnya mempunyai sejarahnya yang tersendiri? Selain daripada pernah menjadi tempat berlindung kepada pembunuh bersiri terkenal, hotel ini juga mempunyai reputasi sebagai tempat angker. Pelbagai kejadian pelik seperti beberapa siri kematian telah dilaporkan berlaku di sini.

Sejak pembukaannya pada tahun 1927, Hotel Cecil yang terletak di pusat bandar Los Angeles, Amerika Syarikat ini sudah dihantui pelbagai kejadian malang dan misteri. Hotel yang mempunyai 700 bilik ini dibina oleh William Banks Hanner. Dengan kos anggaran mencecah RM54.32 juta pada hari ini Hotel Cecil lengkap dengan beberapa perhiasan yang gah sesuai dengan harganya itu.

Namun begitu, disebabkan oleh zaman kemelesetan ekonomi yang berlaku dua tahun kemudian, kejiranan hotel ini digelar ‘Skid Row’, di mana ia menjadi ‘rumah’ buat gelandangan.

Sejak itu, Hotel Cecil menjadi tempat berkumpul buat penjenayah, penagih dadah dan pelarian. Pada tahun 1931, kes kematian pertama berlaku di hotel ini. Seorang lelaki bernama W.K. Norton ditemui mati di dalam biliknya. Punca kematian adalah disebabkan mangsa membunuh diri berikutan penemuan beberapa kapsul yang dipercayai mengandungi racun.

Pada September 1944, Dorothy Purcell yang ketika itu berumur 19 tahun telah menginap di Hotel Cecil bersama seorang lelaki bernama Ben Levine, 38. Akibat sakit perut yang melampau, Dorothy telah terbangun daripada tidurnya. Gadis itu kemudian telah melahirkan seorang bayi lelaki di dalam tandas hotel.

Panik dengan kejadian itu, Dorothy telah membuang bayinya yang disangka telah meninggal dunia melalui tingkap hotel. Semasa perbicaraan, Dorothy dianggap tidak bersalah atas sebab masalah mental. Dia diarah untuk masuk ke hospital mental bagi tujuan rawatan.

Kejadian di Hotel Cecil tidak berakhir di situ sahaja. Pada tahun 1962, George Gianni, 65 sedang berjalan di hadapan hotel terkenal ini apabila dia ditimpa seorang wanita yang jatuh dari langit. Wanita itu, Pauline Otton, 27 telah terjun dari tingkat 9 bangunan penginapan itu setelah berlaku satu pergaduhan besar antara dia dan suaminya. George dan Pauline disahkan mati di tempat kejadian.

Syurga pembunuh bersiri

Hotel Cecil pernah menjadi rumah buat antara pembunuh paling kejam dalam sejarah Amerika. Pada pertengahan tahun 1980-an, pembunuh bersiri, Richard Ramirez yang terkenal dengan jolokan nama The Night Stalker pernah tinggal di hotel ini. Malah, laporan mengatakan Richard dengan bersahaja akan membuang bahan bukti seperti baju yang dipenuhi darah mangsa ke dalam tong sampah hotel ini.

Selain daripada Richard Ramirez, seorang lagi pembunuh bersiri terkenal dari Austria, Jack Unterweger juga pernah tinggal di Hotel Cecil. Beberapa khabar angin mengatakan Jack memilih untuk tinggal di Hotel Cecil pada tahun 1991 kerana kaitannya dengan Richard Ramirez.

Sumber: Youtube

Kes Elisa Lam

Pada tahun 2013, kematian seorang warga Kanada telah menjadikan Hotel Cecil sebagai tumpuan media. Hingga hari ini, kematian Elisa Lam, seorang pelajar kolej berumur 21 tahun masih belum menemui jalan penyelesaian.

Setelah tidak menerima panggilan telefon daripada gadis itu seberti kebiasannya, ibu bapanya sedar akan sesuatu mungkin telah berlaku pada Elisa. Laporan polis kemudian telah dibuat. Namun, siasatan telah dilakukan menemui jalan buntu.

Pada 16 Februari, pihak polis telah menyiarkan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Dalam rakaman tersebut, jelas kelihatan Elisa yang masih hidup berada di dalam sebuah lif di Hotel Cecil.

Walau bagaimanapun, Elisa dalam rakaman tersebut dilihat berkelakuan sangat aneh. Dia dilihat menjenguk ke luar lif beberapa kali, cuba menyembunyikan dirinya di penjuru lif, menekan beberapa butang lif dengan kelam-kabut, menari di luar lif dan mengerakkan anggota tubuhnya seolah dia sedang berbicara dengan seseorang di luar rakaman tersebut. Pelbagai spekulasi timbul sebaik sahaja rakaman tersebut dipertontonkan kepada umum.

Mayat Elisa Lam telah ditemui pada 19 Februari 2013, 19 hari setelah dia dilaporkan hilang. Pekerja hotel menemukan mayat gadis itu di dalam tangki air hotel setelah pengunjung-pengunjung lain melaporkan akan masalah tekanan air di dalam bilik mereka. Selain itu, mereka juga telah memaklumkan bahawa rasa dan warna air yang pelik sebelum mayat gadis itu ditemui.

Keadaan mayat Elisa yang sudah mereput menjadi buah mulut orang ramai. Ketika ditemui, mayat Elisa tidak berpakaian. Tetapi, pakaian dan barangan peribadi gadis malang itu juga berada di tempat kejadian. Keputusan ujian penuh dikeluarkan dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati lemas secara tidak sengaja. Kes itu kemudiannya ditutup walaupun masih banyak persoalan yang belum terjawab.

Hotel Cecil pada hari ini

Hotel Cecil masih lagi beroperasi hingga hari ini. Namun, namanya telah ditukar menjadi Stay on Main Hotel. Pemilik hotel tersebut menukar nama hotel terkenal ini sebagai satu cara untuk membuka wajah baru. Tempat penginapan popular ini kini telah menjadi sebuah hotel bajet. Beberapa perubahan telah dilakukan termasuk membina ratusan unit mikro.

Walaupun pihak pembangunan bandar New York bekerja gigih untuk membina imej baru buat bangunan ini, tidak dapat dinafikan bahawa imej Hotel Cecil akan kekal selamanya. Siapa tahu, mungkin unsur mistiknya masih kekal walaupun bangunannya telah dimodenkan.

Artikel Lain Untuk Di Baca