Pernah Mengorbankan 75 Daripada 1,000 Pemandu, Ini Adalah 7 Jalan Raya Paling Berbahaya Di Dunia

Sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya bersyukur kerana mempunyai jalan raya yang selamat dan tidak berisiko tinggi. Namun begitu, sesetengah negara di dunia ini mempunyai laluan kenderaan yang bukan sahaja merbahaya malah mempunyai sejarah kematian yang sangat tinggi.

Berikut merupakan tujuh jalan raya paling berbahaya di dunia.

1. Karakoram Highway

Merupakan antara jalan paling berbahaya di dunia, jalan raya yang digelar Friendship Highway ini menghubungkan negara China dan Pakistan merentasi Gunung Karakoram yang berketinggian 4,693 meter.

Semasa pembinaan jalan ini, dilaporkan sebanyak 140 orang pekerja China telah terkorban.

Meskipun pengguna jalan raya ini terdedah kepada ancaman tanah runtuh da banjir, ia masih lagi mampu menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia.

2. Kabul-Jalalabad Road, Afghanistan

Jalan raya yang sejauh 143 kilometer ini menghubungkan Kabul dan Jalalabad yakni bandar terbesar di timur Afghanistan. Ia juga dibina melalui Kabul River George di wilayah Taliban.

Disebabkan jalan yang sempit dan infrastruktur keselamatan yang kurang ditambah pula dengan kesesakan yang sering kali berlaku, kemalangan dilaporkan berlaku hampir setiap hari.

3. Sichuan-Tibet Highway

Dibina pada paras yang sangat tinggi, jalan raya ini menghubungkan Chengdu dan Tibet. Sudah menjadi kebiasaan di kawasan terbabit untuk berlakunya insiden seperti tanah runtuh dan juga gelongsoran batu-batu besar.

Jalan ini telah mencatatkan kematian yang sangat tinggi di mana daripada 1,000 orang pemandu, lebih daripada 75 daripadanya terkorban sewaktu melalui jalan ini.

Selain menjadi berlumpur sewaktu musim hujan melanda, jalan raya ini juga kerap kali mengalami kesesakan yang boleh berlanjutan berjam-jam lamanya.

4. The Stelvio Pass, Itali

Terletak 2,757 di atas paras laut, jalan bersimpang siur ini dibina merentasi gunung yang berturap tertinggi di Timur Alps.

Sebahagian daripada jalan ini sangat berbahaya bagi pemandu-pemandu. Bagi yang mudah mabuk jalan, sudah pasti anda akan termuntah kerana jalan raya ini mempunyai 48 selekoh tajam seakan-akan pusingan U. Jadi, pemandu sangat digalakkan untuk memandu dengan kelajuan yang minima.

5. Los Caracoles Pass, Chile

Jalan berbahaya ini dibina merentasi Gunung Andreas yang terletak di antara Chile dan Argentina. Mempunyai banyak cerun yang curam dan juga selekoh tajam, ditambah pula dengan tiada penghadang keselamatan, ia menjadikan jalan ini antara yang paling berbahaya di dunia.

Bukan itu sahaja, jalan ini juga akan diselaputi dengan salji hampir sepanjang tahun, yang membuatkan ianya licin dan sukar untuk mengawal kenderaan yang menguji kesabaran. Meskipun begitu, ia masih lagi digunakan pemandu bas dan lori yang melaluinya hampir setiap hari.

6. The Skippers Canyon Road, New Zealand

Jalan yang sangat menyeramkan ini hanya mempunyai lorong yang sangat-sangat sempit di tengah-tengah tebing yang sangat tinggi. Tidak cukup dengan itu, ia juga tidak mempunyai penghadang jalan.

Oleh kerana ia terlalu berbahaya, anda perlu mempunyai permit untuk memandu di atas jalan ini.

7. North Yungas Road, Bolivia

Berada di tangga pertama jalan paling berbahaya di dunia, Road of Death ini terletak di Yungas, Bolivia. Mengikut anggaran, seramai 200 hingga 300 pengembara terkorban sepanjang jalan ini setiap tahun.

Sudah menjadi kebiasaan di jalan raya ini untuk bas dan lori jatuh sehingga ke bawah lembah terutama ketika mereka cuba untuk melepasi satu sama lain.

Penulis

• Muhammad Hasif bin Mohd Yunus adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan
Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi

Artikel Lain Untuk Di Baca