Pernah Jadi Pertunjukan Sarkas Bergerak Paling Popular, Ini 9 Koleksi Pameran Ganjil Milik P.T. Barnum

Merupakan pertunjukan sarkas bergerak paling popular di Amerika Syarikat pada abad ke-20 dan awal abad ke21, Barnum and Bailey’s Greatest Show on Earth mempamerkan pelbagai koleksi barangan ganjil dan penuh kontroversi.

Latar belakang P.T. Barnum

Phineas Taylor Barnum atau P.T. Barnum, yakni salah seorang pengasas kepada pertunjukan sarkas bergerak itu memulakan kariernya seawal usia 12 tahun sebagai seorang usahawan kecil-kecilan sebelum menjejakkan kaki ke dunia hiburan beberapa tahun kemudian.

Pada tahun 1841, P.T. Barnum telah membeli sebuah muzium di Manhattan dan membuka Barnum’s American Museum. Di dalamnya, P.T. Barnum mempamerkan lebih kurang 500,000 barangan ganjil termasuklah manusia dan haiwan.

Selain itu, Barnum’s American Museum turut merupakan muzium pertama di Amerika yang mempamerkan figura lilin dan ikan di dalam akuarium.

Walau bagaimanapun, muzium hebat milik P.T. Barnum musnah dijilat api pada tahun 1865. Meskipun tiada manusia yang cedera, hampir kesemua haiwan pameran di dalam bangunan itu mati rentung.

Tidak mahu menyerah kalah, P.T. Barnum bangkit dan sekali lagi cuba membangunkan sebuah muzium. Namun begitu, nasib tidak menyebelahinya apabila bangunan itu juga terbakar sebelum sempat dihias.

Barnum and Bailey’s Greatest Show on Earth

Selepas insiden kebakaran kedua, P.T. Barnum bergandin bahu dengan James Bailey untuk menubuhkan pertunjukan sarkas dan muzium bergerak di Amerika Syarikat.

Berbekalkan koleksi manusia ganjil, artifak unik dan haiwan baharu, P.T. Barnum dan James Bailey mula mengembara ke seluruh dunia. Hanya dalam masa beberapa tahun, pasangan ini telah berjaya melonjakkan populariti mereka sehingga mereka dijemput untuk membuat persembahan khas buat Ratu Victoria.

Berikut merupakan sembilan pameran ganjil milik P.T. Barnum dan James Bailey yang menjadi tarikan utama pertunjukan mereka.

1. Wanita berkaki empat

Myrtle Corbin menyertai pertunjukan P.T. Barnum ketika berusia 13 tahun. Dilahirkan dengan kondisi dipygus, Myrtle mempunyal dua pelvis dan empat kaki.

Remaja ini menjadi sebahagian daripada pertunjukan manusia ganjil P.T. Barnum sehinggalah usianya mencecah 19 tahun di mana Myrtle telah bernikah dengan seorang pemuda dan sekali gus meninggalkan dunia hiburan.

Setelah Myrtle meninggalkan pertunjukan, terdapat beberapa percubaan daripada pekerja sarkas wanita untuk cuba meniru aksi wanita empat kaki. Malangnya, aksi berkenaan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

2. Lelaki Yunani-Albania

George Costentenus merupakan salah satu daripada koleksi manusia ganjil milik P.T. Barnum yang popular hanya kerana beliau merupakan orang asing.

Berasal dari Albania, George mendakwa dirinya merupakan waris kepada bangsawan Yunani yang telah diculik dan dicacah seluruh badannya dengan tatu.

Walau bagaimanapun, terdapat dakwaan bahawa George tidak diculik dan ditatu tanpa kerelaan hatinya tetapi lelaki itu memilih untuk berpenampilan sedemikian untuk menjadi sebahagian daripada pertunjukan ganjil terbabit.

3. Duyung Feejee

Duyung Feejee merupakan salah satu pameran bukan manusia milik P.T. Barnum yang sangat popular. Pada mulanya, makhluk aneh ini merupakan bukti tentang kewujudan ikan duyung di Fiji.

Walau bagaimanapun, setelah siasatan dilakukan, Duyung Feejee ini hanyalah rangka seekor monyet kecil yang digamkan pada ekor ikan yang besar. Barang pameran ini dipercayai telah hilang saat muzium kedua milik P.T. Barnum terbakar.

4. Jo-Jo, budak lelaki berwajah anjing

Fedor Jeftichew menandatangani kontrak bersama P.T. Barnum ketika berusia 16 tahun. Dilahirkan dengan kondisi yang digelar hypertrichosis, wajah Fedor hampir penuh dilitupi rambutnya.

Dalam pertunjukan sarkas, P.T. Barnum mereka cerita tentang asal usul Fedor yang dikatakan telah ditangkap oleh seorang pemburu. Tegas P.T. Barnum, Fedor sangatlah ganas dan sering menyalak seperti anjing.

5. Chang dan Eng Bunker

Pada waktu Chang dan Eng Bunker dilahirkan, kawasan di luar Bangkok dikenali dengan nama Siam. Pasangan kembar ini merupakan pelopor utama dalam pembentukan terma kembar siam yang masih digunakan sehingga hari ini.

Pada tahun 1829, Chang dan Eng menyertai pertunjukan P.T. Barnes sebagai salah seorang manusia ganjil. Usai menjelajah dunia, pasangan kembar ini berpindah ke North Carolina dan berkahwin dengan sepasang adik-beradik perempuan.

6. Lionel, lelaki berwajah singa

Seperti Fedor Jeftichew, Stephan Bibrowski turut merupakan koleksi manusia ganjil milik P.T. Barnum yang menderita hypertrichosis. Namun begitu, beliau diberi jolokan lelaki singa kerana rambut yang melitupi wajahnya lebih panjang daripada Fedor.

P.T. Barnum sekali lagi memperdaya orang ramai dengan mengatakan Stephan mempunyai wajah bak singa kerana bapanya diserang haiwan liar itu saat Stephan berada di dalam kandungan ibunya.

7. Manusia rangka

Isaac Sprague membuat persembahan di muzium Amerika milik P.T. Barnum dengan menggunakan jolokan manusia rangka. Ketika berusia 12 tahun, Isaac mula kehilangan berat badan meskipun seleranya seperti manusia normal.

Akhirnya, berat badan beliau mencapai angka maksima iaitu 19.50 kilogram.

7. Wanita berjanggut

Annie Jones Elliot mula menggembara bersama P.T. Barnum semasa zaman sarkas bergeraknya. Pada usia lima tahun, wanita ini sudah mempunyai janggut yang penuh, misai dan jambang.

Menurut rekod, Annie berkemungkinan menghidap penyakit hirsutism di mana ia mengakibatkan bulu badannya tumbuh secara berlebihan.

8. Tom Thumb dan Lavinia Williams

Sebaik sahaja Tom Thumb atau nama sebenarnya Charles Sherwood Stratton menyertai pertunjukan P.T. Barnes, beliau terus menjadi satu sensasi.

Pada usia enam tahun, Tom sudah mencapai ketinggian maksimanya iaitu dua kaki. Beliau akhirnya berkahwin dengan salah seorang pekerja sarkas P.T. Barnum yang dikenali sebagai Lavinia Williams.

9. Pinhead Zip

Pinhead Zip atau nama sebenarnya William Henry Johnson merupakan koleksi manusia ganjil milik P.T. Barnum yang paling sensasi. Hal ini adalah kerana Pinhead Zip berketurunan Afrika-Amerika dan dipamerkan di dalam sangkar.

Dipercayai dilahirkan dengan kondisi yang membuatkan kepalanya lebih kecil dari biasa, Pinhead Zip dijual kepada sarkas pada usia yang muda oleh keluarganya kerana kesempitan wang.

Untuk membaca artikel lain berkaitan keganjilan di dunia, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca