Busana hasil rekaan Rizman Ruzaini pernah terpalit kontroversi apabila gaun yang menampakkan bahu itu telah digayakan oleh Natasha Hudson yang sudah berhijab.
Pada tahun lalu, personaliti masakan Youtube iaitu Pavitra pernah menggayakan busana yang sama ketika sesi fotografi majalah dalam talian Pepatung.

Apa yang menariknya ialah apabila Pavitra sendiri meminta bahagian bahu yang terdedah tersebut ditutup.
Kisah tersebut dikongsikan menerusi akaun Instagram rasmi Rizman Ruzaini. Berdasarkan perkongsian itu, gaya tersebut telah dipersetujui oleh penata gaya yang bertugas di set penggambaran pada masa itu. Permintaan Pavitra turut dipersetujui oleh semua pihak.
“Malangnya, gaun tersebut terlalu terdedah untuk Pavitra (sebelah bahagian bahu terdedah dan hanya ditutupi dengan fabrik tulle yang see-through dan ditambah lipatan berlisu) membuatkan Pavitra kurang selesa.
“Dia kemudiannya meminta agar bahunya ditutup sempurna. Menghormati permintaan Pavitra, penata gaya telah menggayakan gaun tersebut mengikut keselesaannya,” dedah Rizman Ruzaini.
Tambah pereka fesyen terkenal itu, walaupun Pavitra bukanlah selebriti terkemuka, pihaknya masih gembira untuk bekerjasama dengannya.
Pihak Rizman Ruzaini turut bebangga apabila personaliti Youtube itu menggayakan rekaan mereka dengan penuh elegan dan punyai kelas tersendiri.
Menggayakan gaun yang menampakkan bahu itu di salah sebuah majlis pelancaran produk kecantikan, tindakan pelakon berhijab itu telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat dan juga Rizman Ruzaini.
Kecewa dengan perkongsian pereka fesyen tersebut, Natasha tampil menyatakan pendiriannya dan beranggapan ciapan Rizman Ruzaini itu berbaur peribadi dan berat sebelah kerana Pavitra bukanlah selebriti gred A.
Pelakon tersebut turut meminta Rizman Ruzaini membuat permohonan maaf dan hormati beliau sebagai pembeli.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: