Pernah Cuba Dijodohkan Dengan Gadis Senegara, Bapa Reynhard Sinaga Setuju Dengan Keputusan Mahkamah

Seorang pelajar falsafah kedoktoran (PhD) dari University of Leeds, Britain dihukum penjara seumur hidup selepas sisi silamnya yang merupakan pemangsa seksual paling berbahaya dibongkar pihak berkuasa.

Reynhard Sinaga, 36, yang berasal dari Indonesia dilabel sebagai penjenayah paling keji Britain selepas dia didakwa atas 159 serangan termasuk 136 jenayah pemerkosaan, lapan cubaan rogol dan 15 gangguan seksual terhadap 48 mangsa.

Menerusi rakaman video serangan yang dijumpai di dalam telefon bimbitnya, pihak berkuasa telah menemui bukti bahawa Reynhard sudah mendera lebih 195 orang lelaki secara seksual. 70 daripadanya masih tidak dapat dikenalpasti.

Reynhard yang dilahirkan di Jambi, Sumatera berasal dari sebuah keluarga berada yang langsung tidak tahu mengenai jenayah yang sudah dilakukannya. Kehidupannya di Britain ditanggung sepenuhnya oleh bapanya.

“Bapa dia (Reynhard) merupakan orang kaya. Mereka mempunyai sebuah rumah agam yang terletak di tengah-tengah Jakarta. Reynhard sering bercakap besar mengenai pembantu rumah, pemandu dan kekayaannya,” ujar seorang bekas rakan kepada tertuduh.

Reynhard yang merupakan anak sulung dalam keluarga sebenarnya sangat seronok tinggal di Manchester ekoran sifat keterbukaan negara itu dalam menerima seksualitinya.

Seperti Malaysia, Indonesia merupakan antara negara di dunia yang menolak homoseksualiti. Bahkan, di sesetengah negeri, golongan LGBT boleh dihukum.

Penjenayah berkenaan dikatakan sangat berat hati untuk pulang semula ke Indonesia ekoran ibu bapanya yang tidak tahu mengenai selera songsang pemuda itu pernah cuba menjodohkannya dengan beberapa oran gadis Indonesia.

Malah, Reynhard juga mengaku dia akan menukar cara pemakaiannya kepada sesuatu yang lebih konservatif apabila dia pulang melawat keluarga.

Bagi rakan-rakan Reynhard di Britain, mereka menganggap pemuda itu sebagai seorang yang popular dan sering bertukar-tukar pasangan.

“Dia sering keluar bertemu janji dan selalu bertukar-tukar pasangan. Keluarganya sangat kaya sehinggakan Reynhard tidak perlu bekerja,” kata seorang rakan.

Reynhard Sinaga datang ke Britain pada tahun 2007 untuk menyambung pelajarannya. Dia mempunyai dua sijil Sarjana Muda dalam geografi dan sosiologi. Sebelum penangkapannya, tertuduh sedang belajar di peringkat PhD.

Pertuduhan yang dijatuhkan ke atas Reynhard itu menggemparkan ahli keluarganya. Difahamkan, mereka akan berjumpanya buat kali terakhir ketika dia di dalam penjara.

Saibun Sinaga yakni bapa kepada tertuduh enggan mengulas lanjut mengenai kes itu. Namun, dia melabel hukuman mahkamah yang dikenakan terhadap anaknya adalah setimpal.

Difahamkan, keluarga dan rakan-rakan Reynhard sudah memutuskan hubungan dengan pemuda berkenaan. Malah, segala gambarnya di media sosial kini sudah dipadam.

Untuk membaca artikel lain mengenai jenayah kejam, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca