Musim panas di Jepun merupakan masa di mana Festival Obon disambut. Pada masa ini, roh-roh nenek moyang akan pulang ke rumah untuk melawat ahli keluarga dan meraikan majlis ini bersama-sama.
Namun begitu, menari bersama hantu nenek moyang bukanlah satu-satunya cara masyarakat Jepun menyambut bulan roh ini. Satu permainan digelar Hyakumonogatari Kaindankai atau pengumpulan 100 kisah seram akan dimainkan pada bulan ini.
Menurut rekod terawal, permainan ini dikatakan telah wujud sejak tahun 1660. Mula diperkenalkan sebagai cara untuk menguji keberanian seorang samurai Jepun, sudah banyak versi permainan ini muncul sehingga hari ini.
Cara permainan
Permainan ini harus dilakukan sebaik sahaja matahari terbenam. Sebanyak 100 batang lilin akan dinyalakan dan diletakkan dalam bulatan. Lokasi permainan pula haruslah di sebuah bilik yang sangat gelap.
Pemain akan bermula dengan bercerita kisah-kisah seram yang selalunya merupakan cerita daripada orang kampung. Setelah tamat satu kisah, pemain harus meniup satu lilin sebelum beralih kepada pemain seterusnya.
Mungkin permainan ini dianggap biasa bagi sesetengah orang, namun ada yang percaya bahawa permainan ini sebenarnya adalah sebuah ritual untuk menyeru roh mereka yang telah mati. Ada yang mengatakan sekiranya lilin terakhir dipadamkan, pemain akan menyedari bahawa mereka telah disertai oleh seseorang yang lain atau mereka akan berkebolehan melihat ke alam lain pada masa itu.
Menurut sebuah buku yang ditulis oleh Ansei Ogita pada tahun 1660, permainan ini harus dimulakan pada malam bulan baru. Sebanyak tiga buah bilik harus disediakan sebelum permainan bermula. Kedudukan bilik-bilik tersebut haruslah membentuk huruf ‘L’ apabila dilihat dari atas. Sebarang senjata atau barang berbahaya haruslah dijauhkan dari bilik tersebut.
Di bilik ketiga, sebanyak 100 tanglung andon yang diperbuat daripada kertas biru, sebuah meja dan sebuah cermin harus berada di dalam. Ketiga-tiga bilik yang dipilih haruslah berada dalam keadaan gelap gelita.
Kesemua pemain harus berpakaian biru dan berada di bilik pertama di mana mereka akan bergilir-gilir meceritakan kisah seram. Usai satu kisah, pemain akan berjalan dalam gelap ke bilik ketiga tadi dan meniup satu tanglung andon hingga padam. Setelah itu, mereka harus melihat wajah mereka pada cermin yang disediakan sebelum bergerak semula ke bilik pertama.
Pada akhir permainan itu, satu tangan gergasi dikatakan bakal muncul di atas mereka. Sesiapa yang menggigil ketakutan akan dipersendakan pada keesokan hari.
Namun begitu, tiada siapa tahu apa sebenarnya yang bakal terjadi apabila lilin terakhir dipadamkan.