Perlis Benarkan Solat Jumaat Bersyarat Mulai 15 Mei Ini

Sebagai langkah permulaan bagi membolehkan ‘Syiar Jumaat’ dihidupkan semula, negeri Perlis membenarkan pelaksanaan Solat Jumaat bersyarat bermula 15 Mei ini.

Memetik laporan Bernama, peraturan yang ditetapkan ialah jumlah jemaah termasuk imam/khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang dengan hanya pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid yang dibenarkan.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah kebenaran itu tidak dapat diizinkan kepada masyarakat awam memandangkan ancaman penularan pandemik COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya.

“Masjid tidak boleh dibuka kepada orang ramai sebaliknya mereka yang dibenarkan menunaikan Solat Jumaat ialah pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa masjid sahaja. Jemaah perlu membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekod kehadiran di buku kedatangan.

Mereka yang berumur 60 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir, selain mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak, selesema serta mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit barah juga tidak dibenarkan,” titah baginda.

Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah mereka yang hadir juga perlu memakai pelitup muka dan melaksanakan penjarakan sosial sekurang-kurangnya pada jarak dua meter semasa menunaikan solat.

Di samping itu, jemaah juga perlu berwuduk sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri, selain solat diutamakan di tempat terbuka seperti di anjung masjid.

Baginda turut bertitah tempoh bermula azan hingga selesai Solat Jumaat hanya 15 minit dan kontak fizikal seperti berjabat tangan sama ada sebelum atau selepas solat tidak dibenarkan sama sekali. Kesemua jemaah perlu beredar dari masjid sebaik sahaja selesai menunaikan solat.

Difahamkan, pengerusi masjid dipertanggungjawab bagi memastikan semua syarat dipatuhi dan kegagalan untuk mematuhi semua syarat-syarat akan menyebabkan masjid berkenaan tidak dibenarkan untuk mengadakan Solat Jumaat.

MAIPs mengeluarkan peraturan itu setelah mengambil kira pandangan Jabatan Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Muzakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca