Perlekehkan Darurat, Azwan Ali Dipanggil Untuk Siasatan Polis

Baru-baru ini, pengacara sensasi, Azwan Ali dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan mengenai penularan sebuah klip video yang dimuat naik olehnya.

Rakaman video berdurasi 41 saat itu ditular oleh seorang warganet yang bernama Zai Mikail di Facebook pada 12 Januari lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, siasatan dijalankan terhadap selebriti tersebut kerana didapati memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang telah memuat naik dan menularkan klip video tersebut,” kata Datuk Huzir.

Kes ini turut dijadikan topik perbualan antara warganet di mana mereka meneka video yang mana terbabit. Ada yang menganggap video tersebut dikaitkan dengan abangnya, Azmin Ali yang merupakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sementara itu, Huzir turut mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menyalahgunakan platform tersebut sehingga boleh mencetuskan perbalahan dan mengganggu ketenteraman awam.

Beliau juga berpesan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang sengaja mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan dengan Azwan Ali, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca