Perlawanan Bola Sepak Ini Jadi ‘Kekalahan’ Paling Besar Buat Rakyat Itali

Siapa sangka kemenangan Atalanta di Liga Juara-Juara ke atas Valencia dengan empat gol berbalas satu itu dalam sekelip mata menjadi kekalahan paling besar buat rakyat Itali?

Sehingga ke hari ini, Itali sudah mencatatkan sebanyak 119,827 kes positif COVID-19. Walau bagaimanapun, 14,681 daripadanya tewas kepada wabak tersebut.

Datuk Bandar Bergamo, Giorgio Gori mengutarakan pendapatnya mengenai isu tersebut dengan menganggap perlawanan berkenaan sebagai punca penyebaran wabak meragut nyawa itu di wilayah Lombardy.

Sumber: Twitter

Menurut Giorgio, “Jika benar apa yang diperkatakan bahawa virus itu sudah pun merebak di Eropah sejak Januari lalu, maka ada kemungkinan juga 40,000 penonton di Stadium San Siro ketika itu saling dijangkiti wabak tersebut antara satu sama lain.”

Walaupun COVID-19 sudah mula tersebar di seluruh dunia, rakyat Itali pada waktu itu sebaliknya mengambil sikap sambil lewa dengan tidak menghiraukan amaran yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Ketua unit rawatan rapi (ICU) Giovanni Hospitali XXII, Bergamo iaitu Luca Lorini turut mendakwa perlawanan yang berlangsung di Stadium San Siro itu sebagai salah satu punca penularan wabak COVID-19 di Itali.

Menurut Luca, “Saya pasti 40,000 orang yang berpeluk dan berciuman antara satu sama lain dalam jarak satu sentimeter melakukannya sebanyak empat kali ketika itu kerana Atalanta menjaringkan empat gol. Itulah yang menjadi antara punca utama penularan wabak ini.”

Sumber: Twitter

Sebagai rekod, satu pertiga daripada skuad Valencia dan penjaga gol Atalanta Marco Sportiello positif COVID-19 selepas perlawanan tersebut.

Apa-apa pun, kemenangan besar Atalanta ke atas kelab Sepanyol itu pasti akan sentiasa terpahat dalam minda rakyat Itali sebagai ‘kekalahan’ terbesar mereka dalam menghadapi penularan wabak meragut nyawa ini pada 2020.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan COVID-19 dan sukan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca