Perkenalan Tidak Sengaja, Ini Kisah Cinta Allahyarham Ashraf Sinclair Dan Bunga Citra Lestari

Hari ini menandakan genap 12 hari pemergian aktor Malaysia yang mencipta nama di negara seberang, Indonesia iaitu Ashraf Sinclair. Pada 18 Februari lalu, suami kepada Bunga Citra Lestari itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 40 tahun akibat serangan jantung.

Rata-rata tidak boleh membayangkan apa yang Bunga terpaksa lalui memandangkan kehilangan ini berlaku dalam sekelip mata sahaja dan tanpa diduga. Lebih-lebih lagi, Bunga sebelum ini pernah menyatakan yang dirinya tidak pernah membayangkan hidupnya tanpa Ashraf di sisi.

“Sampai sekarang aku tidak pernah bisa membayangkan hidupku tanpa Ashraf. Sampai sekarang pandangan aku masih seperti itu. Jadi mudah-mudahan kita berdua terus diberi kekuatan untuk bisa terus mencintai satu sama lain,” ujar Bunga dalam satu wawancara sebuah program pada akhir tahun lepas yang dimuat naik di saluran YouTube InsertLive.

Berikut kami kongsikan momen awal kisah cinta antara Ashraf dan Bunga:

Menurut portal CNN Indonesia, mereka bertemu buat pertama kalinya sewaktu Bunga mempromosikan albumnya yang berjudul Cinta Pertama di Kuala Lumpur. Ketika itu, Ashraf telah menggantikan rakannya untuk menemu bual Bunga atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sewaktu menemu bual Bunga, Ashraf dikatakan menyebut nama penyanyi jelita itu dengan salah di mana dia memanggilnya dengan nama Bunga Cinta Lestari.

“Ketika itu, saya salah sebut namanya. Saya fikir namanya Bunga Cinta Lestari, ternyata Bunga Citra Lestari. Saya malu. Tapi satu benda yang saya tidak boleh lupa pada pertemuan itu adalah auranya yang begitu kuat,” kata Ashraf dalam satu temu bual dengan Tabloid Bintang pada tahun 2014.

Perkenalan tidak sengaja itu berlanjutan sehinggalah ia membawa kepada episod cinta yang berlarutan sehingga tahun 2008. Pada 8 November 2008, Bunga sah bergelar isteri kepada Ashraf di Masjid Al-Bina Selayan, Jakarta.

Pada 22 September 2010, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Noah Sinclair.

Team Lejen Digital mengucapkan salam takziah buat Bunga Citra Lestari dan seluruh keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Untuk baca artikel lain mengenai pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca